Abdul El-Sayed
WASHINGTON – Bakal Senator Amerika Syarikat (AS), Abdul El-Sayed menubuhkan sebuah jawatankuasa tindakan politik (PAC) baharu dinamakan ‘Habibi PAC‘, beberapa hari selepas memenangi pilihan raya Senat Michigan pada Selasa lalu.
Penubuhan PAC itu memberi isyarat beliau berhasrat terus memainkan peranan penting dalam politik Parti Demokrat selepas kempen pilihan rayanya berakhir, lapor Anadolu Ajansi.
Berdasarkan dokumen yang difailkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya Persekutuan, PAC kepimpinan itu adalah berasingan daripada jentera kempennya dan bertujuan mengumpul dana bagi menyokong sekutu politiknya.
Nama ‘Habibi’ diambil daripada perkataan Arab yang bermaksud ‘kesayanganku’, ungkapan yang popular sepanjang kempen El-Sayed.
El-Sayed yang secara terbuka menonjolkan identitinya sebagai Muslim sepanjang kempen, berulang kali menjadi sasaran serangan berkaitan agamanya, namun menang dengan majoriti besar di Michigan, negeri penentu yang berpotensi memainkan peranan utama pada Pilihan Raya Presiden 2028.


