
BEKAS Ahli Parlimen Bangi, Dr Ong Kian Ming dicabar menjelaskan pendiriannya berhubung isu Pembinaan PFI Sdn Bhd yang melibatkan pinjaman RM30 bilion daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Kumpulan Wang Persaraan (KWAP).
Cabaran itu disuarakan Exco Pemuda Amanah Nasional (Amanah), Ridhuan Esa susulan kemunculan Ong dalam podcast Keluar Sekejap bersama bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin yang membincangkan penglibatan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dalam belanjawan negara.
“Saya ingin bertanya terus kepada Dr. Ong Kian Ming, adakah apabila berada di studio Keluar Sekejap, anda sudah terlupa skandal Pembinaan PFI Sdn Bhd yang anda sendiri perjuangkan dan laporkan kepada pihak berkuasa pada tahun 2018 dahulu?
“Jika Dr. Ong sudah lupa, biar saya ingatkan semula berdasarkan rekod rasmi Laporan C4 Center (2022) dan Laporan Ketua Audit Negara.
“Pada bulan Julai 2018, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah membuka kertas siasatan terhadap sebuah GLC milik Kementerian Kewangan iaitu Pembinaan PFI Sdn Bhd selepas menemu bual dan mengambil keterangan daripada Dr. Ong Kian Ming sendiri yang lantang membangkitkan isu tersebut.
“Apakah yang Dr. Ong dan rakan baiknya Tony Pua (pada tahun 2015) dedahkan kepada rakyat ketika itu?
“Mereka mendedahkan bagaimana kerajaan BN ketika Khairy Jamaluddin berada di dalam Kabinet telah menyalahgunakan Pembinaan PFI Sdn Bhd untuk meminjam RM30 bilion wang persaraan rakyat daripada dua tabung utama negara sebanyak RM26.037 bilion daripada KWSP dan RM3.963 bilion daripada KWAP,” katanya menerusi Facebook pada Jumaat.

Ridhuan menambah, berbeza dengan pentadbiran MADANI bahawa pelaburan GLIC seperti KWSP, KWAP dan Khazanah Nasional Berhad dalam projek strategik negara kini diumumkan secara terbuka menerusi pembentangan Belanjawan di Parlimen.
Sebaliknya, beliau mendakwa pembiayaan Pembinaan PFI dilaksanakan menerusi mekanisme di luar belanjawan pembangunan biasa sehingga menimbulkan persoalan mengenai tahap ketelusan dan pemantauan Parlimen.
Ridhuan turut merujuk laporan Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4 Center) yang diterbitkan pada 2022, yang mempersoalkan struktur pembiayaan Pembinaan PFI serta penggunaan tanah milik kerajaan sebagai sebahagian daripada mekanisme pembayaran balik pinjaman.
Menurut laporan itu, Pembinaan PFI memperoleh pembiayaan RM30 bilion menerusi dua peringkat, iaitu RM20 bilion daripada KWSP pada 2007 dan RM10 bilion pada 2012, membabitkan RM6.037 bilion daripada KWSP serta RM3.963 bilion daripada KWAP.
“Sebaliknya, apakah yang berlaku kepada RM30 bilion wang KWSP dan KWAP di dalam Pembinaan PFI Sdn Bhd yang Dr. Ong sendiri laporkan kepada SPRM dahulu?
“Pertama, Pembinaan PFI Sdn Bhd hanyalah sebuah syarikat atas kertas (SPV) tanpa operasi dan tidak mempunyai walau seorang pun pekerja bergaji di dalam penyata tahunannya bagi tahun 2010, 2018, dan 2020.
“Kedua, wang RM30 bilion KWSP dan KWAP itu dimasukkan ke dalam Akaun Amanah di luar mekanisme belanjawan pembangunan biasa (off-budget) dan langsung tidak dibentangkan di dalam pengumuman Belanjawan tahunan di Parlimen antara tahun 2010 hingga 2014.
“Ketiga, kerana Pembinaan PFI Sdn Bhd tiada sebarang pendapatan komersial untuk membayar semula hutang KWSP dan KWAP, kerajaan BN telah menggunakan helah memajak 186 bidang tanah milik Kerajaan Persekutuan (termasuk kem tentera, Pangkalan TLDM Lumut, balai polis dan sekolah) kepada syarikat itu pada harga RM10 pada 2007 (kemudian dinaikkan kepada RM5.7 bilion pada 2012),” katanya lagi.

Ridhuan berkata, lebih menjelekkan Pembinaan PFI Sdn Bhd kemudian menyewakan semula (sub-lease) tanah kerajaan itu kepada kerajaan sendiri dengan harga RM29.16 bilion selama 15 tahun.
Hal ini katanya mengakibatkan kerajaan terpaksa menggunakan wang pembayar cukai untuk membayar “sewa” ke atas tanah miliknya sendiri semata-mata untuk melunaskan pokok dan faedah pinjaman KWSP serta KWAP.
“Bayaran hutang itu pula disamarkan sebagai “belanja sewaan” di bawah Perbelanjaan Mengurus bagi menyorokkan kedudukan sebenar hutang negara.
“Keempat, ke manakah perginya wang RM30 bilion KWSP dan KWAP tersebut? Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mendedahkan sebanyak RM26.16 bilion telah dibelanjakan untuk 864 projek di bawah 16 kementerian (RM18.92 bilion untuk 525 projek PFI I dan RM7.24 bilion untuk 339 projek PFI II).
“Kesemua kontrak ini diagihkan tanpa tender terbuka melalui rundingan terus kepada syarikat-syarikat kroni dan ahli politik BN di bawah lindungan Akta Rahsia Rasmi (OSA),” katanya.
Beliau turut mendedahkan pelbagai kementerian yang menerima dana Akaun Amanah PFI I dan PFI II ini didapati telah berbelanja melebihi peruntukan yang diluluskan sebanyak RM377.97 juta (RM48.78 juta bagi PFI I dan RM329.19 juta bagi PFI II) seperti yang direkodkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2015.
“Lebih pelik lagi, selepas Dr. Ong Kian Ming memberi keterangan kepada SPRM pada Julai 2018 dan beliau sendiri berada di dalam kerajaan ketika itu sebagai Timbalan Menteri, mengapakah isu sebesar ini tiba-tiba menjadi senyap?
“Mengikut rekod Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), pada 17 Julai 2019 dan 20 Ogos 2019, pinjaman Pembinaan PFI Sdn Bhd dengan KWSP hanya melalui proses penstrukturan semula menerusi kemudahan pembiayaan Islam kadar tetap. Sehingga tahun 2020, baki liabiliti hutang syarikat ini masih berjumlah RM26.7 bilion, dan rakyat terpaksa terus membayarnya sehingga tahun 2027.
“Selepas empat tahun berlalu, laporan C4 pada tahun 2022 menegur bahawa tiada sebarang hasil siasatan diumumkan oleh SPRM, tiada seorang pun pengarah atau ahli politik didakwa, dan senarai penuh penerima 864 kontrak Pembinaan PFI Sdn Bhd kekal tersembunyi daripada pengetahuan rakyat,” katanya.
Ridhuan turut menyatakan kehairanannya apabila melihat Ong boleh duduk semeja dan mengupas soal penggunaan GLC serta GLIC di dalam podcast bersama Khairy, tetapi mendiamkan diri tentang skandal GLC bernilai hampir RM50 bilion zaman BN yang beliau sendiri pernah laporkan kepada SPRM.
“Rakyat berhak bertanya kepada beliau, mengapa anda tidak menuntut jawapan daripada Khairy Jamaluddin di depan mikrofon tentang hutang RM29.16 bilion Pembinaan PFI Sdn Bhd, dan mengapa isu yang anda sendiri bangkitkan pada tahun 2018 itu ditutup begitu sahaja?” katanya.


