
KANGAR – Generasi muda perlu melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan, kemahiran teknikal dan penguasaan teknologi bagi memastikan mereka mampu menjadi pewaris kemerdekaan serta peneraju pembangunan negara pada masa depan.
Presiden Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Kolej Teknologi Termaju Jabatan Tenaga Manusia (ADTEC JTM) Kampus Kangar, Muhammad Haziq Iman Shamsul Masrin berpandangan, golongan belia tidak boleh hanya bergantung kepada kelayakan akademik, sebaliknya perlu memiliki kemahiran yang bersesuaian dengan keperluan industri.
Menurutnya, perkembangan kecerdasan buatan (AI) dan automasi turut menuntut pelajar Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) meningkatkan keupayaan supaya kekal relevan dalam pasaran pekerjaan yang semakin mencabar.
Beliau turut berharap lebih banyak peluang pekerjaan berkemahiran tinggi dapat diwujudkan di Perlis bagi membolehkan anak muda membina kerjaya serta menyumbang kepada pembangunan ekonomi negeri tanpa perlu berhijrah ke negeri lain.

Muhammad Haziq Iman berkata demikian ketika berkongsi pandangan berhubung forum bertajuk ‘Generasi Muda: Pewaris Kemerdekaan, Peneraju MADANI’ sempena Program Nadi Aspirasi Nasional Bersama Anak Muda (NANBA) Peringkat Zon Utara 2026 anjuran Persatuan Penduduk Taman Merpati, Perlis dengan kerjasama Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM) di ADTEC JTM Kampus Kangar, di sini, hari ini.
Sementara itu, Bendahari MPP ADTEC JTM Kampus Kangar, V. Rubeswar berkata, program berkenaan menerima sambutan amat menggalakkan daripada pelajar, khususnya menerusi penganjuran pertandingan e-sukan Mobile Legends.

“Rata-rata pelajar di sini sangat berminat untuk menyertai pertandingan e-sukan Mobile Legends, malah masih ramai yang merayu untuk mengambil bahagian walaupun semua slot penyertaan sudah penuh.
“Saya berpendapat, program seumpama ini wajar dilaksanakan pada skala lebih besar dengan melibatkan penyertaan pelajar daripada institusi pengajian tinggi lain.
“Gabungan aktiviti yang menjadi kegemaran anak muda seperti e-sukan dengan pengisian ilmiah merupakan pendekatan menarik bagi menggalakkan lebih ramai pelajar menyertai program yang memberi manfaat kepada mereka,” katanya.



