MELAKA – Sebanyak RM40 bilion diperlukan kerajaan setiap tahun bagi menampung kos subsidi bahan api, sekali gus membolehkan rakyat menikmati harga petrol RON95 pada kadar RM1.99 seliter, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, peruntukan besar itu membolehkan harga minyak di Malaysia kekal antara yang terendah di dunia, malah lebih murah berbanding beberapa negara pengeluar minyak utama seperti Arab Saudi dan Qatar.
“Anda bayar RM1.99 (seliter bagi petrol RON95 bersubsidi). Satu tahun saya kena cari RM40 bilion tampung belanja (subsidi) minyak. Sebab itu (harga) minyak di Malaysia itu, paling rendah di dunia.
“(Dibandingkan Malaysia dengan) Brunei sedikit sahaja rendah tetapi yang lain Arab Saudi, Qatar (negara pengeluar minyak dunia) semua (harga) lebih tinggi daripada kita,” katanya pada program Malam Harapan di Dewan Sekolah Tinggi Pay Fong, di sini, malam ini.
Hadir sama, Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabu dan Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP, Nga Kor Ming.
Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata, langkah kerajaan memperuntukkan subsidi bahan api didorong rasa tanggungjawab terhadap kepercayaan rakyat yang memilih gabungan itu untuk mentadbir negara.
“Bukan sebab saya pandai, sebab rakyat bersama-sama kita (PH). Rakyat faham, dia bayar sikit (harga minyak)… tetapi dia (rakyat) tahu negeri ini mesti diselamatkan,” katanya.
Menteri Kewangan itu berkata, kerajaan ketika ini turut menanggung beban hutang susulan penyelewengan yang berlaku ketika pentadbiran terdahulu, sekali gus memberi kesan kepada rakyat pelbagai kaum.
Beliau memberi contoh isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang menurutnya menyebabkan seluruh rakyat terpaksa menanggung beban hutang berkenaan.
“(Kes) 1MDB… bila hutang siapa bayar? Melayu kena bayar, Cina kena bayar, India kena bayar, Sabah Sarawak kena bayar.
“Kemudian FELDA, Melayu punya. Setiap tahun hampir RM1 bilion ringgit (hutang FELDA kerajaan kena tanggung). Kenapa? Kerana orang-orang dia curi duit… Tabung Haji, RM10 bilion hilang,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar berkata, tanggungjawab sebagai Perdana Menteri bukan sesuatu yang mudah kerana pemimpin perlu menjaga kepentingan seluruh rakyat tanpa mengira kaum dan bukan hanya tertumpu kepada kelompok tertentu.
Beliau berkata, pemimpin tidak seharusnya hanya berpura-pura mahu menjaga semua kaum ketika kempen pilihan raya bagi meraih undi, sebaliknya perlu membuktikannya menerusi tindakan selepas mendapat mandat rakyat.
Katanya, kerajaan memperkenalkan pelbagai bantuan kepada rakyat tanpa mengira latar belakang kaum dan agama bagi meringankan beban kos sara hidup, antaranya Bantuan Awal Persekolahan (BAP) sebanyak RM200 bagi setiap pelajar dan murid di seluruh negara.
“Saya mahu negeri ini (Melaka) selamat, kita mesti jaga semua rakyat di seluruh negara,” katanya.
Sementara itu, Anwar menyeru seluruh rakyat, khususnya di Melaka, supaya terus mengekalkan perpaduan bagi memastikan keamanan dan kemajuan negara dapat diwariskan kepada generasi akan datang.
“Jadi kalau tanya saya, apa pasal kita mahu Pakatan Harapan kuat di Melaka, sebab kita mahu negara ini kuat,” katanya.
Program Malam Harapan itu adalah antara siri program yang dihadiri Perdana Menteri sempena lawatan ke Melaka hari ini, termasuk kempen PH bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 14 November ini sebagai hari pengundian, manakala pengundian awal berlangsung pada 10 November.

