
IPOH – Sebanyak 25 koperasi sekolah di Perak menerima suntikan peruntukan RM100,000 menerusi Program Pemerkasaan Ekonomi Koperasi Sekolah (PERKS) 2026 bagi meningkatkan aktiviti perniagaan dan membantu pelajar mendapatkan keperluan persekolahan.
Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Salbiah Mohamed berkata, program julung kali dilaksanakan itu memberi manfaat kepada 2,000 pelajar menerusi agihan baucar pembelian RM50 setiap seorang.
Menurutnya, setiap koperasi menerima peruntukan RM4,000 yang disalurkan dalam bentuk baucar kepada 80 pelajar terpilih untuk membeli kelengkapan persekolahan di koperasi masing-masing.
Katanya, pendekatan itu bukan sahaja meningkatkan jualan dan transaksi koperasi, malah membantu koperasi berskala kecil yang berdepan kekangan modal mengembangkan perniagaan.
“Inisiatif ini memberi manfaat kepada kedua-dua pihak apabila koperasi dapat meningkatkan pendapatan, manakala pelajar dan keluarga dapat menikmati bantuan bagi mengurangkan perbelanjaan persekolahan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Cek Cura PERKS 2026 di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, pada Rabu.

Majlis disempurnakan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, dan turut dihadiri Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Datuk Khairudin Abu Hanipah.
Salbiah berkata, pemilihan 25 koperasi dibuat menerusi saringan dan penilaian SKM Negeri Perak, manakala pelaksanaan program diselaraskan bersama Jabatan Pendidikan Negeri dan koperasi terlibat, termasuk urusan penebusan baucar serta pemantauan.



