
MELAKA – Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Melaka, Datuk Seri Adly Zahari bakal dinamakan sebagai calon Ketua Menteri sekiranya gabungan itu berjaya memperoleh majoriti dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 14 November ini.
Pengarah Pilihan Raya PH, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, keputusan itu dibuat berdasarkan persefahaman dalam gabungan berkenaan, meskipun PH mempunyai beberapa pemimpin lain yang turut berpotensi menerajui kerajaan negeri.
“Setakat ini, Adly calon Ketua Menteri menerusi persefahaman jika kita dapat majoriti atau diberi kepercayaan dalam PRN Melaka.
“Masih terlalu awal untuk melihat suasana. Namun, kita yakin kita boleh memberikan saingan sengit kali ini, insya-Allah,” katanya seperti dipetik media tempatan.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Majlis Perasmian Penutupan Karnival Hari Penjaja dan Peniaga Kecil (HPPK) Peringkat Kebangsaan 2026 di Stadium Kajang pada Ahad.
Adly, yang kini merupakan Timbalan Menteri Pertahanan, pernah dilantik sebagai Ketua Menteri Melaka selepas PH menumbangkan BN pada Pilihan Raya Umum 2018.
Bagaimanapun, pentadbirannya berakhir pada 3 Mac 2020 selepas kehilangan majoriti susulan Langkah Sheraton, apabila Bersatu keluar daripada PH selain dua lagi wakil rakyat gabungan itu mengalihkan sokongan.
Antara tokoh lain yang turut menjadi perhatian pada PRN Melaka kali ini ialah Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin yang bertanding di DUN Paya Rumput.

Sebelum itu, Pengarah Komunikasi PH,Datuk Seri Fahmi Fadzil pada 19 Oktober memaklumkan bahawa Majlis Presiden PH belum membincangkan isu ‘poster boy’, meskipun mengakui Adly mempunyai pengalaman pentadbiran yang boleh dipertimbangkan.
Dalam perkembangan berkaitan, Amirudin berkata PH dijadual mengumumkan manifesto pilihan raya berteraskan gagasan ‘Melaka Rumah Kita’ dalam tempoh tiga hari lagi sebagai tawaran hala tuju pentadbiran negeri sekiranya diberikan mandat.
Sementara itu, Adly dalam sidang media di Melaka berkata manifesto berkenaan akan memberi penekanan kepada penyediaan perumahan mampu milik, peningkatan pendapatan rakyat, sokongan kepada usahawan kecil, kebajikan pelajar serta penyampaian bantuan yang lebih telus.
“Keutamaan kami ialah tentang kediaman yang benar-benar mampu dimiliki oleh rakyat, pendapatan yang lebih baik, sokongan kepada usahawan kecil, kebajikan pelajar serta bantuan dan akses yang telus,” katanya.
Menurut calon DUN Bukit Katil itu, tawaran berkenaan dirangka berdasarkan maklum balas penduduk yang ditemui calon serta jentera parti sepanjang kempen.
Antara isu utama yang dibangkitkan termasuk kesukaran memiliki rumah, peningkatan kos sara hidup, akses kepada bantuan kebajikan serta peluang pekerjaan dengan kadar gaji yang setimpal.
Peniaga kecil pula berdepan tekanan kos sewaan premis dan kekangan modal yang menjejaskan kelangsungan perniagaan mereka.
Selain itu, penduduk turut membangkitkan masalah kemudahan asas seperti banjir berulang, sistem perparitan, lampu jalan dan penyelenggaraan kemudahan awam, termasuk isu pengurusan Melaka Sentral serta keadaan lokasi pelancongan.
“Ukuran kemajuan mesti sampai ke rumah rakyat dan yang paling penting adalah di meja makan rakyat, bukan sekadar cantik di pentas perasmian,” katanya.
Pada PRN Melaka kali ini, PH mempertaruhkan 24 calon daripada keseluruhan 28 kerusi DUN, masing-masing 10 calon PKR, tujuh DAP dan tujuh Amanah.
Gabungan itu menyasarkan kemenangan 18 kerusi, termasuk mempertahankan lima kerusi yang dimenangi pada PRN 2021.

