
MATU – Kemunculan kain rentang tertera slogan ‘Hidup GPS, N44 Jemoreng Tolak Juanda Jaya’ menimbulkan persoalan mengenai sokongan terhadap penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jemoreng, Datuk Dr Juanda Jaya menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13.
Menurut maklumat yang diperoleh wartawan The Malaysia Press (TMP), pemasangan kain rentang itu dikaitkan dengan seorang bekas ketua kaum, Salleh Busra.
Sumber penduduk setempat mendakwa terdapat desakan daripada beberapa kampung sekitar Jemoreng supaya Juanda tidak dicalonkan semula untuk mempertahankan kerusi berkenaan.
Antara perkara yang dibangkitkan oleh sumber itu ialah rasa tidak puas hati terhadap pendekatan perkhidmatan kepada masyarakat serta isu pelantikan dan pertukaran pemimpin masyarakat di peringkat akar umbi.
Bagaimanapun, sejauh mana pandangan itu dikongsi oleh penduduk dan pengundi di kawasan berkenaan masih belum dapat dipastikan.
Sementara itu, Pegawai Khas Pusat Khidmat DUN Jemoreng, Aini Latip mendakwa pemasangan kain rentang berkenaan berpunca daripada rasa tidak puas hati Salleh terhadap Juanda.
“Pemasangan kain rentang kerana beliau tidak puas hati dengan YB,” katanya ringkas.
Setakat laporan ini ditulis, usaha wartawan TMP menghubungi Juanda beberapa kali bagi mendapatkan maklum balas berhubung isu berkenaan masih belum berhasil.
Kemunculan kain rentang itu berlaku ketika perhatian turut tertumpu kepada persiapan parti politik menghadapi PRN Sarawak ke-13, termasuk persoalan mengenai pencalonan semula penyandang kerusi DUN.



