
KABONG – Pergerakan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Kabong menyatakan sokongan penuh agar penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kabong, Datuk Mohd Chee Kadir dicalonkan semula pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13.
Sokongan itu dizahirkan menerusi Program Pemuda Bersama Ketua Cawangan PBB Kabong yang berlangsung di Pusat Khidmat DUN Kabong pada Ahad.
Pergerakan itu turut menyatakan kesediaan menggerakkan seluruh jentera di peringkat akar umbi, termasuk ranting parti bagi memastikan persiapan menghadapi pilihan raya berkenaan berjalan lancar dan tersusun.
Selain kempen secara bersemuka, Pemuda PBB Kabong merancang memperkukuh pendekatan melalui penggunaan platform digital dan media sosial bagi mendekati pengundi, khususnya golongan muda.
Aktiviti kemasyarakatan juga akan terus diberi keutamaan bagi memperkukuh hubungan antara parti dengan penduduk setempat.
Menurut pergerakan itu, sokongan terhadap pencalonan semula Mohd Chee berasaskan keyakinan terhadap kepimpinan, pengalaman serta rekod perkhidmatan beliau kepada masyarakat di kawasan berkenaan.
Ketua Pergerakan Pemuda PBB Cawangan Kabong, Abdul Rahim Peli turut hadir pada program itu yang menjadi platform mempererat hubungan antara kepimpinan parti dengan jentera Pemuda PBB, selain membincangkan persiapan menghadapi PRN.
Mohd Chee mula memenangi kerusi DUN Kabong pada PRN Sarawak 2016 atas tiket Barisan Nasional (BN) selepas memperoleh 5,069 undi dengan majoriti 3,585 undi.
Beliau kemudian mempertahankan kerusi berkenaan pada PRN 2021 sebagai calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) dengan memperoleh 4,789 undi dan majoriti 2,763 undi.


