
BENTONG – Kira-kira 200 pengusaha ladang kelapa sawit di kawasan Hutan Simpan Kemasul Tambahan Dua, berhampiran FELDA Chemomoi, di sini, berhimpun secara aman bagi membantah perkembangan terbaharu membabitkan tanah yang diusahakan mereka sejak 14 tahun lalu.
Himpunan selama kira-kira dua jam di padang awam FELDA Chemomoi itu bertujuan mendesak kerajaan negeri mencari penyelesaian terhadap kemelut tanah berkenaan yang didakwa bakal diserahkan kepada sebuah syarikat swasta.
Wakil pengusaha, M Tamilchelvan, 65, berkata mereka tidak berniat mempertikaikan kuasa kerajaan negeri dalam menentukan status atau pengurusan tanah berkenaan, apatah lagi menuntut hak milik ke atas kawasan tersebut.
Sebaliknya, katanya, kira-kira 300 pengusaha yang terbabit berharap kerajaan negeri mempertimbangkan permohonan mereka untuk terus mengusahakan ladang berkenaan menerusi kaedah tapping right.
“Peluang itu wajar diberikan kepada pengusaha sedia ada melalui koperasi yang ditubuhkan bagi mewakili kepentingan mereka, berbanding menyerahkan pengurusan kawasan berkenaan kepada syarikat swasta.
“Kami juga bersedia mematuhi segala syarat ditetapkan Jabatan Perhutanan termasuk membayar royalti kepada kerajaan negeri sekiranya permohonan itu diluluskan,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi pengusaha, Mohd Sharif Hasan, 82, berharap pihak berkaitan dapat mengadakan pertemuan secara bersemuka dengan penduduk bagi memahami situasi serta pengorbanan mereka sepanjang mengusahakan ladang berkenaan.
“Pengusaha sudah menghabiskan masa bertahun-tahun membangunkan kawasan itu dan berharap usaha tersebut diberi pertimbangan sewajarnya sebelum sebarang keputusan dibuat,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan kebimbangan kira-kira 300 pengusaha ladang kelapa sawit di kawasan berkenaan yang berisiko kehilangan sumber pendapatan selepas tanah yang diusahakan sejak 14 tahun lalu didakwa bakal diserahkan kepada pihak swasta.
Tanah berkenaan merupakan kawasan hutan simpan yang sebelum ini diuruskan RISDA menerusi projek Agropolitan.
Bagaimanapun, sebahagian kawasan tidak dapat diusahakan pada peringkat awal berikutan keadaan muka bumi sebelum penduduk mengambil inisiatif mengusahakannya.


