Gambar hiasan
PUTRAJAYA – Malaysia Airlines Bhd (MAB) memaklumkan maklumat sebahagian pelanggannya mungkin terjejas susulan insiden keselamatan siber melibatkan Amadeus, penyedia teknologi tempahan penerbangan pihak ketiga syarikat penerbangan itu.
“Insiden itu mungkin menjejaskan maklumat pelanggan tertentu yang diproses melalui Amadeus antara Ogos 2023 hingga September 2026,” menurut kenyataan MAB yang disiarkan di laman webnya, semalam.
Bagaimanapun, syarikat penerbangan nasional itu memberi jaminan sistem teknologi maklumat miliknya tidak terjejas, dan setakat ini tiada bukti menunjukkan maklumat kewangan telah diakses.
“Kami memandang serius perkara ini dan sedang bekerjasama rapat dengan Amadeus dan pihak berkaitan untuk menyiasat insiden berkenaan dan menilai kesannya.
“Sebagai langkah berjaga-jaga, kami menggalakkan pelanggan supaya sentiasa berwaspada terhadap sebarang komunikasi yang mencurigakan atau tidak diminta, terutama yang mahukan maklumat peribadi atau kewangan,” menurut kenyataan itu.
Menurut MAB, privasi dan perlindungan maklumat pelanggan kekal menjadi keutamaan dan pihaknya akan berkongsi perkembangan selanjutnya sekiranya mendapat maklumat yang lebih terperinci.



