
SHAH ALAM – Dana Inovasi Media 2.0 dengan peruntukan RM30 juta dijangka menjadi pemangkin kepada transformasi industri media tempatan, khususnya dalam meningkatkan kemahiran tenaga kerja dan memperkukuh daya saing organisasi media.
Presiden Institut Akhbar Malaysia (MPI), Datuk Yong Soo Heong berkata, sokongan itu penting bagi membantu organisasi media menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi serta cabaran industri yang semakin kompleks.
Menurutnya, organisasi media perlu mempergiat transformasi digital, memanfaatkan kecerdasan buatan (AI), memperkukuh kewartawanan data dan meneroka model perniagaan baharu bagi memastikan kelangsungan operasi masing-masing.
“Oleh itu, MPI berpandangan bahawa sokongan berterusan kerajaan amat penting bagi memastikan organisasi media dan bidang kewartawanan terus berkembang, kekal relevan serta berupaya melaksanakan tanggungjawab menyampaikan maklumat yang berkualiti kepada masyarakat.
“MPI turut menghargai keyakinan kerajaan terhadap peranan sektor media sebagai antara tonggak penting dalam pembangunan negara dan penyampaian maklumat kepada rakyat,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Sebelum ini, kerajaan mengumumkan penerusan inisiatif Dana Inovasi Media menerusi fasa 2.0 dengan peruntukan RM30 juta bagi memperkukuh daya tahan dan daya saing industri media tempatan.

Jurucakap Kerajaan MADANI, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, empat skop pembiayaan sedia ada dikekalkan, selain penambahan satu skop baharu menjadikan keseluruhannya lima skop pembiayaan.
Permohonan dana berkenaan dibuka mulai Ahad, manakala maklumat lanjut termasuk borang permohonan boleh diperoleh menerusi laman web danainovasimedia.komunikasi.gov.my.
Mengulas lanjut, Yong Soo Heong berkata, peruntukan itu mencerminkan keprihatinan kerajaan terhadap cabaran yang dihadapi organisasi media, khususnya dalam menyesuaikan operasi dengan perkembangan teknologi dan perubahan landskap industri yang pesat.
“MPI menyambut baik keputusan kerajaan meneruskan sokongan kepada industri media menerusi peruntukan sebanyak RM30 juta di bawah Dana Inovasi Media 2.0.
“Saya juga merakamkan penghargaan kepada Fahmi atas komitmen berterusan kerajaan dalam memperkukuh ekosistem media yang mampan, inovatif dan bersedia menghadapi cabaran masa depan,” katanya.



