
KUCHING – Kerajaan Persekutuan merancang untuk menubuhkan dua Pusat Kepakaran Penjagaan Bersepadu (NICE) iaitu di Sarawak dan Pulau Pinang bagi memperkukuh ekosistem sektor penjagaan di negara ini.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, inisiatif strategik itu merupakan antara tumpuan utama kementerian melalui peruntukan Belanjawan MADANI 2027 bagi menyokong keperluan penjagaan warga emas dan Orang Kurang Upaya (OKU).
Menurutnya, pembangunan pusat tersebut akan disokong dengan pelaksanaan latihan komprehensif kepada tenaga kerja penjagaan menerusi kerjasama pelbagai agensi berkaitan.
“Dalam sektor penjagaan, dua Pusat Kepakaran Penjagaan Bersepadu atau NICE di Sarawak dan Pulau Pinang kini dalam perancangan pihak kementerian.
“Inisiatif ini turut merangkumi latihan kepada 8,000 tenaga kerja penjagaan warga emas melalui HRD Corp serta penyediaan kemahiran khusus kepada 3,000 penjaga OKU baharu,” katanya ketika berucap pada Program Malam Media KPWKM @ Sarawak di Star On Stage, di sini pada Sabtu malam.

Nancy berkata, perancangan pusat kepakaran tersebut selaras dengan peningkatan peruntukan keseluruhan KPWKM dalam Belanjawan 2027 sebanyak RM4.355 bilion, meningkat sekitar empat peratus berbanding RM4.187 bilion pada tahun 2026.
Beliau menambah, sektor penjagaan turut diperkasakan menerusi kenaikan kadar bantuan kebajikan kepada golongan sasar, termasuk Bantuan Penjagaan OKU Terlantar dan Pesakit Kronik yang dinaikkan daripada RM500 kepada RM600 sebulan.
Selain itu, sebanyak 15 premis Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) di seluruh negara akan dinaik taraf sebagai pusat terapi khusus bagi menyokong proses pemulihan OKU secara lebih berkesan.
“Peruntukan ini mencerminkan komitmen kerajaan yang amat prihatin terhadap kebajikan, perlindungan sosial, dan institusi kekeluargaan.
“KPWKM mahu memastikan sektor penjagaan bukan sahaja memiliki infrastruktur sokongan yang tersusun, malah melahirkan barisan penjaga yang berkemahiran tinggi demi kesejahteraan masyarakat,” jelas beliau.



