
ISKANDAR PUTERI – Tiga individu ditahan bagi membantu siasatan kes pergaduhan dan insiden seorang lelaki mengalami patah kaki kanan akibat dilanggar kereta di hadapan sebuah pasar raya di Taman Pulai Utama, Skudai, semalam.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Radin Ramlan Radin Taha memaklumkan, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 6.38 petang selepas video insiden tersebut tular di media sosial Facebook.
Katanya, siasatan awal mendapati punca kejadian berakar umbi daripada perselisihan faham berkaitan isu pinjaman wang antara pihak yang saling mengenali hingga mencetuskan rempuhan kenderaan jenis Proton Saga.
”Akibat kejadian itu, mangsa berusia 35 tahun mengalami kecederaan patah kaki kanan dan kini dirawat di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru dalam keadaan stabil.
“Pihak polis telah menahan tiga individu tempatan terdiri daripada seorang lelaki dan dua wanita berusia 34 hingga 53 tahun serta merampas sebuah kereta Proton Saga. Saringan air kencing mendapati kesemua suspek negatif dadah,” katanya.
Menurut Radin Ramlan, kes disiasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh yang memperuntukkan hukuman penjara berat.
Tambahnya, pihak polis sedang memburu beberapa lagi individu yang masih bebas dan menggesa saksi kejadian atau orang ramai yang mempunyai maklumat agar segera menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan tuntas.
Sumber: ikbn

