parlimen
KUALA LUMPUR – Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2027 diluluskan pada peringkat dasar di Dewan Rakyat hari ini selepas selesai dibahaskan sejak 12 Oktober lalu.
RUU berkenaan yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang juga Menteri Kewangan pada 9 Oktober lalu, diluluskan menerusi undian suara dengan lebih ramai Ahli Parlimen menyokong.
Belanjawan 2027 bertemakan ‘Menggapai di Langit, Mengakar di Bumi’ menggariskan lapan lunas utama, merangkumi usaha meningkatkan kesejahteraan rakyat hingga memperkukuh daya tahan serta masa depan negara.
Belanjawan kelima di bawah Kerajaan MADANI itu memperuntukkan RM459.8 bilion perbelanjaan kerajaan, selain RM25 bilion pelaburan daripada syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC), RM11 bilion pelaburan awam-swasta serta RM14.2 bilion pelaburan badan berkanun Persekutuan dan syarikat Menteri Kewangan (Diperbadankan) (MKD).
Secara keseluruhan, Belanjawan 2027 merangkumi RM510 bilion, meneruskan dasar fiskal mengembang bagi menyokong pembangunan dan pertumbuhan ekonomi negara.
Menurut takwim Parlimen, perbahasan RUU berkenaan pada peringkat jawatankuasa dijadual berlangsung dari 2 hingga 26 November ini.


