
MASIH ramai yang tidak faham, termakan propaganda dan naratif palsu. Kegagalan 1MDB bukan perkara kecil, ianya perkara yang diakui oleh dunia, bahkan oleh Amerika Syarikat sendiri.
Mustahil mana-mana pihak mampu mempengaruhi atau memberi arahan kepada negara Uncle Sam untuk menipu rakyat Malaysia semata-mata.
Itu mustahil, Malaysia bukan China, saingan kepada Amerika Syarikat di pentas geopolitik.
Isu 1MDB bukan sekadar soal berapa banyak hutang yang ditinggalkan, tetapi juga berapa banyak wang yang telah dibayar kerajaan Malaysia, berapa banyak aset berjaya dipulihkan dan berapa besar beban kewangan yang masih ditanggung negara.
Ini bukan soal Datuk Seri Najib Razak semata-mata.
Setakat 31 Ogos 2026, kerajaan telah membayar beban hutang sebanyak RM42.5 bilion untuk memenuhi hutang dan komitmen kewangan berkaitan 1MDB.
Namun, masih terdapat baki komitmen sebanyak RM8.9 bilion bagi Sukuk Islamic Medium Term Note (IMTN) yang dijamin kerajaan.
Daripada baki RM8.9 bilion itu, RM5 bilion merupakan hutang pokok, manakala RM3.9 bilion ialah faedah yang perlu dibayar sehingga tempoh matang pada 2039.
Jika dicampurkan bayaran yang telah dibuat dengan baki komitmen tersebut, jumlah keseluruhannya ialah RM51.4 bilion (RM42.5 bilion + RM8.9 bilion = RM51.4 bilion).
Pada masa yang sama, kerajaan melaporkan bahawa sebanyak RM31.3 bilion dana dan aset 1MDB telah berjaya dipulihkan.
Dalam bahasa mudah, kerajaan telah membayar RM42.5 bilion, masih perlu memenuhi komitmen hutang sebanyak RM8.9 bilion dan telah memulihkan dana serta aset bernilai RM31.3 bilion.
Bagaimanapun, usaha mendapatkan kembali aset yang diseleweng masih diteruskan. Untuk rakyat dan negara jua, itu hak anak cucu kita di masa depan.
Jadi tidak ada istillah isu 1MDB telah selesai, 1MDB telah dan sedang meninggalkan kesan yang terlalu ketara kepada keadaan fiskal negara ini.
Jangan anggap ini isu politik semata-mata, ianya lebih besar daripada itu.
Jika pakar-pakar kewangan dunia dan hakim-hakim yang bijaksana telah membuat penilaian sedemikian, siapa anda yang tak memahami dan mendalami ilmu kewangan untuk bercakap sebaliknya?
1MDB sepatutnya membuka mata kita, betapa teruknya kesan yang ditinggalkan oleh ketirisan integriti kepimpinan.
Terimalah kenyataan walau pahit, jangan semata-mata kerana politik kita menolak kebenaran.
Ini negara kita, kita jaga bersama 🇲🇾
*Suwadi Guliling ialah Timbalan Ketua Pengarah (Komunikasi Komuniti) Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM)


