KUALA LUMPUR – Tindakan pantas kerajaan MADANI menggerakkan siasatan menyeluruh terhadap dakwaan aktiviti mafia korporat menyaksikan polis membekukan dan merampas aset bernilai kira-kira RM409 juta menerusi Op Viking.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, tindakan itu membabitkan lapan hartanah, 11 kenderaan, 417 akaun Sistem Depositori Pusat (CDS), 70 akaun dagangan saham bernilai kira-kira RM323.59 juta serta 404 akaun bank yang mengandungi baki kira-kira RM85.62 juta.
Beliau berkata, setakat 25 September lalu, polis sudah merakam keterangan 70 individu bagi membantu siasatan berhubung dakwaan berkenaan.
“Berdasarkan latar belakang dan identiti individu yang dipanggil untuk dirakam keterangan, tiada pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terbabit atau dikenal pasti bagi tujuan membantu siasatan itu,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat, semalam.
Beliau menjawab pertanyaan Datuk Dr Ahmad Marzuk Shaary (PN-Pengkalan Chepa) yang meminta penjelasan mengenai skop dan perkembangan terkini siasatan polis terhadap dakwaan aktiviti mafia korporat, termasuk kemungkinan pembabitan pegawai SPRM atau agensi penguatkuasaan lain serta dakwaan penyalahgunaan kuasa.
Saifuddin berkata, Op Viking masih diteruskan bagi membolehkan polis melengkapkan kertas siasatan, manakala Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberi jaminan bahawa siasatan akan dilaksanakan mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, memaklumkan Dewan Rakyat bahawa kerajaan menubuhkan pasukan petugas khas diketuai Peguam Negara bagi menyelaraskan siasatan membabitkan pelbagai agensi penguatkuasaan berkaitan.
Pasukan berkenaan merangkumi Polis Diraja Malaysia (PDRM), SPRM, Bank Negara Malaysia (BNM), Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bagi memastikan dakwaan berkenaan diteliti secara menyeluruh.
Anwar turut memaklumkan bahawa pasukan siasatan jenayah pengubahan wang haram Bukit Aman membekukan wang berjumlah RM4.3 bilion dan merampas RM1 bilion menerusi siri siasatan berkaitan dakwaan aktiviti mafia korporat dari penghujung 2022 hingga September tahun ini.
Pasukan berkenaan juga melucut hak aset bernilai RM48.3 juta serta mengenakan kompaun berjumlah RM1.1 bilion sepanjang tempoh siasatan kes berkenaan.
Dakwaan aktiviti mafia korporat itu mendapat perhatian selepas laporan Bloomberg pada Februari lalu mendakwa wujudnya rangkaian ahli perniagaan yang mengambil alih syarikat tersenarai awam dengan bantuan pihak tertentu dalam agensi penguatkuasaan.
Bagaimanapun, bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, menafikan dakwaan berkenaan.
Bloomberg turut melaporkan bahawa Azam memiliki 17.7 juta saham dalam Velocity Capital berdasarkan dokumen yang difailkan kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM). Pegangan saham itu turut diisytiharkan dalam laporan tahunan syarikat berkenaan.
Berdasarkan harga saham syarikat itu, nilai pegangan terbabit dianggarkan sekitar RM800,000.
Azam sebelum ini menegaskan bahawa pemilikan sahamnya dalam syarikat perkhidmatan kewangan itu dibuat secara telus dan mengikut peraturan.



