
ARAU – Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail berkenan menyempurnakan Majlis Peletakan Batu Asas Pembinaan Pelabuhan Sanglang hari ini, sekali gus menandakan satu lagi langkah penting dalam usaha menjadikan Perlis sebagai hab logistik, perdagangan dan maritim strategik di utara tanah air.
Pembangunan pelabuhan berkenaan dijangka melengkapkan rangkaian infrastruktur logistik negeri, khususnya Pelabuhan Darat Perlis (PIP) yang merupakan antara projek pemangkin utama di bawah agenda pembangunan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER).
Keberangkatan baginda turut diiringi Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Waris Yang Kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail.
Pembangunan Pelabuhan Sanglang dilihat berpotensi memperkukuh ekosistem ekonomi yang sedang dibangunkan menerusi NCER, khususnya dalam meningkatkan kesalinghubungan antara perdagangan rentas sempadan, pengangkutan darat, aktiviti maritim dan sektor perindustrian.
Melalui Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), pembangunan PIP sebelum ini menjadi antara inisiatif strategik bagi memperkukuh kedudukan Perlis sebagai pintu masuk perdagangan Malaysia-Thailand, selain menyokong pertumbuhan Kawasan Perindustrian Lembah Chuping (CVIA).
NCIA turut memainkan peranan dalam penyediaan infrastruktur luaran PIP termasuk jalan penghubung, jejambat dan susur landasan kereta api, manakala pembangunan infrastruktur dalaman dilaksanakan oleh Mutiara Perlis Sdn. Bhd.
Kesepaduan PIP dengan Pelabuhan Sanglang kelak dijangka memperluas keupayaan logistik Perlis melalui gabungan jaringan pengangkutan darat dan laut, sekali gus meningkatkan daya tarikan negeri kepada pelabur domestik serta antarabangsa.
Sementara itu, Pengerusi Eksekutif Kumpulan Mutiara Perlis, Datuk Shabaruddin Ibrahim berkata, Pelabuhan Sanglang merupakan projek infrastruktur maritim berskala besar yang bakal menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi negeri.
Beliau berkata, pelabuhan berkenaan dirancang mempunyai struktur penghubung dan beberapa terminal yang memanjang sehingga empat kilometer ke tengah laut bagi menampung pelbagai aktiviti maritim serta keperluan pengendalian kargo.
“Antara kemudahan yang dirancang termasuk terminal pelbagai guna, terminal Roll-on/Roll-off (RoRo), kemudahan perikanan tuna laut lepas serta terminal kargo am untuk pengendalian komoditi termasuk petroleum dan gas petroleum cecair (LPG),” katanya ketika menyampaikan ucapan aluan pada majlis berkenaan.
Menurutnya, pembangunan Pelabuhan Sanglang merupakan sebahagian daripada visi lebih besar untuk meletakkan Perlis sebagai hab logistik nasional yang berdaya saing menerusi penyepaduan tiga komponen utama, iaitu PIP, Pelabuhan Sanglang dan Perlis Energy Hub.
“PIP telah memulakan operasi komersial pada 13 April lalu, manakala Fasa Pertama Pelabuhan Sanglang disasarkan siap pada suku kedua 2029,” ujarnya.
Katanya, pembangunan Perlis Energy Hub yang merupakan komponen fasa kedua pula dijangka disiapkan pada suku kedua 2030.
“Kesepaduan kesemua projek ini dijangka mewujudkan satu rangkaian ekonomi yang saling melengkapi,” katanya.
Majlis itu turut menyaksikan pertukaran dua memorandum persefahaman (MoU), masing-masing melibatkan Berjaya Construction Berhad bagi pelaksanaan kerja kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) Pelabuhan Sanglang serta Reganosa Servicios S.L.U. dari Sepanyol bagi pembangunan Perlis Energy Hub.
Kerjasama strategik tersebut dijangka menjadi asas pembentukan koridor maritim dan hab tenaga bersepadu yang mampu menarik pelaburan baharu, merancakkan aktiviti perdagangan dan membuka peluang ekonomi kepada masyarakat setempat.
Terdahulu, Tuanku Syed Sirajuddin turut berkenan menyempurnakan majlis pecah tanah projek Pelabuhan Sanglang pada 22 Mac 2018, selain merasmikan Zon Perdagangan Bebas Tuanku Syed Sirajuddin di Pelabuhan Darat Perlis pada 30 Mei lalu.

Turut hadir Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah; Pengasas dan Penasihat Kumpulan Berjaya, Tan Sri Vincent Tan Chee Yioun serta Ketua Eksekutif NCIA, Datuk Mohamad Haris Kader Sultan.

