DURIAN TUNGGAL – Dakwaan syarikat perladangan Malaysia terlibat dalam aktiviti pembakaran hutan dan tanah di Indonesia seperti didakwa sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) alam sekitar negara itu adalah kenyataan yang tidak benar.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, pemantauan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) mendapati kebakaran yang dikesan bukannnya berpunca dari ladang milik syarikat Malaysia, sebaliknya api merebak dari kawasan lain.
Menurut beliau, syarikat perladangan tertakluk kepada piawaian kelestarian yang melarang pembakaran terbuka, termasuk menerusi Pensijilan Meja Bulat Minyak Sawit Mampan (RSPO) dan Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO).
“Berdasarkan laporan yang kita terima, tidak ada (pembakaran terbuka). Kita mempunyai pemantauan dan syarikat juga tertakluk kepada RSPO.
“Kita perlu melihat syarikat mana yang dikatakan melakukan pembakaran itu kerana melalui pemantauan MPOB, setakat ini, kebakaran tidak bermula di ladang berkenaan, sebaliknya dari kawasan lain.
“Cuaca yang terlalu panas menyebabkan api merebak, tetapi ia dapat dipadamkan dengan segera,” katanya pada majlis penutup Program Jelita (Job Empowerment by Learning and Inclusive Technical Advancement) Latihan Pecutan Intensif 12 Jam di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), pada Isnin.
Hadir sama, Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek; Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari dan Naib Canselor UTeM, Datuk Dr Massila Kamalrudin.
Terdahulu, NGO alam sekitar Indonesia, Wahana Lingkungan Hidup Indonesia (WALHI) mendakwa 21 syarikat yang mempunyai kaitan dan gabungan dengan kumpulan perniagaan dari Malaysia terbabit kes kebakaran hutan dan tanah di negara itu, bagi tempoh Januari hingga September tahun ini.
Dapatan itu sebahagian laporan analisis pemetaan bertajuk ‘Who Are Behind the Fires?’ dikeluarkan Eksekutif Nasional WALHI.
Menurut laporan itu, data satelit mencatatkan sekurang-kurangnya 30,927 titik panas di seluruh Indonesia sepanjang sembilan bulan pertama tahun ini, di mana hampir 50 peratus daripadanya berada dalam kawasan konsesi operasi syarikat perladangan kelapa sawit dan perhutanan.
Antara wilayah mencatatkan kepekatan titik panas tertinggi termasuk Kalimantan Barat iaitu 9,529 dan Kalimantan Tengah sebanyak 7,141 yang mengakibatkan Indeks Standard Pencemaran Udara (ISPU) di kawasan terjejas berada pada tahap tidak sihat hingga berbahaya



