
JASMINE AE
KUCHING – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membuka permohonan undi pos bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-13 bermula Isnin, 26 Oktober 2026, melibatkan pemilih yang layak di dalam dan luar negara.
Setiausaha SPR, Datuk Khairul Shahril Idrus berkata, permohonan berkenaan merangkumi tiga kategori, iaitu Kategori 1A, 1B dan 1C yang boleh dikemukakan secara dalam talian menerusi portal MySPR.
Menurutnya, Kategori 1A melibatkan anggota polis, tentera, petugas pilihan raya, anggota atau pegawai SPR serta petugas media yang memenuhi syarat ditetapkan.
“Kategori 1A melibatkan anggota polis, anggota tentera, petugas pilihan raya, ahli atau pegawai SPR serta petugas media.
“Kategori 1B pula membabitkan warganegara Malaysia yang menetap di luar negara, manakala Kategori 1C melibatkan agensi atau organisasi yang layak,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Khairul berkata, pemilih yang berhasrat menggunakan kemudahan undi pos perlu memastikan mereka mempunyai akaun MySPR sebelum mengemukakan permohonan.
“Pemilih yang layak dan berhasrat untuk mengundi secara pos hendaklah mendaftar atau mempunyai akaun MySPR sebelum membuat permohonan untuk mengundi secara pos,” katanya.
Beliau berkata, permohonan boleh dikemukakan menerusi portal rasmi MySPR di https://myspr.spr.gov.my.
Dalam pada itu, Kategori 1C turut merangkumi anggota agensi tertentu yang tidak dapat hadir mengundi kerana menjalankan tugas, termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Jabatan Penjara Malaysia serta Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), tertakluk kepada syarat kelayakan.
SPR turut memaklumkan bahawa tarikh tutup permohonan undi pos bagi semua kategori akan diumumkan kemudian.
Sehubungan itu, pemilih yang layak digalakkan merujuk portal rasmi SPR bagi mendapatkan panduan permohonan serta maklumat terkini berkaitan proses pengundian pos.
Sebarang pertanyaan lanjut boleh dikemukakan kepada Unit Pengurusan Undi Pos SPR melalui talian 03-8892 7080 atau e-mel upup@spr.gov.my.



