
KUANTAN – Penggunaan pod dan vape tidak sepatutnya menjadi trend untuk bergaya.
Sebaliknya kedua-dua aksesori itu membawa risiko serius kepada kesihatan termasuk ketagihan nikotin, kerosakan paru-paru dan komplikasi sistem kardiovaskular.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Lantikan) Pahang, Datuk Ahmad Irshadi Abdullah Al-Qari berkata, masyarakat dinasihatkan agar tidak menggadaikan kesihatan semata-mata untuk kelihatan bergaya.
“Pod bukan sekadar asap, tapi risiko kepada kesihatan. Jangan kerana mahu nampak bergaya, kita sanggup menggadaikan kesihatan sendiri.
“Jangan tunggu sehingga badan mula memberi amaran baru kita mahu berubah. Kesihatan bukan sesuatu yang boleh dibeli semula apabila sudah hilang.
“Fikir dulu sebelum hisap, sayangi diri sebelum menyesal,” katanya menerusi satu kenyataan.
Ahmad Irshadi turut menyeru rakyat negeri ini agar mentaati titah Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang menitahkan pengharaman pengambilan vape dan pod di negeri berkenaan.
Menurutnya, ketaatan kepada titah Tuanku Sultan perlu seiring dengan tuntutan sebagai seorang mukmin yang beriman kepada al-Quran.
“Jadilah rakyat yang taat kepada Tuanku Sultan dalam masa yang sama jadi mukmin yang benar-benar beriman dengan aL-Quran.
“Ianya secara jelas disebut sebagaimana Allah berfirman ‘Janganlah kamu mencampakkan diri dalam kebinasaan’ – Surah Al Baqarah ayat 195,” katanya.
Sebelum ini media melaporkan, individu yang didapati bersalah menghisap vape atau rokok elektrik di Pahang boleh dikenakan hukuman denda dan penjara bermula awal tahun ini.
Hukuman terhadap individu yang didapati melanggar fatwa berkenaan adalah mengikut Enakmen Jenayah Syariah Pahang 2013.
Berdasarkan seksyen 13 (c) enakmen tersebut, pesalah boleh dikenakan denda tidak lebih RM3,000 atau penjara tidak lebih dua tahun, atau kedua-duanya sekali.



