KUALA LUMPUR – Dakwaan bahawa kawasan Parlimen pembangkang dipinggirkan dalam pengagihan peruntukan pembangunan kepada rakyat adalah tidak benar.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peruntukan pembangunan kawasan (CDF) disalurkan terus kepada projek yang diluluskan dan bukannya diberikan secara langsung kepada Ahli Parlimen.
Menurut beliau, pelaksanaan projek pembangunan ditentukan berdasarkan keperluan kawasan serta tertakluk kepada kelulusan kerajaan negeri dan kementerian berkaitan.
“Projek tidak semestinya perlu disalurkan melalui Ahli Parlimen. Malah, di kawasan yang diwakili parti kerajaan sendiri, peruntukan juga tidak diberikan terus kepada Ahli Parlimen kerana peranan mereka hanya mengesahkan projek berkenaan.
“…mengandaikan bahawa tidak ada kelulusan dari segi peruntukan, saya tidak setuju kerana peruntukan untuk rakyat disampaikan,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, pada Selasa.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen PN Besut, Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh yang ingin tahu sama ada kerajaan bercadang menggubal akta bagi memastikan peruntukan pembangunan disalurkan secara sama rata kepada semua Ahli Parlimen tanpa mengira parti politik, selaras dengan manifesto Pakatan Harapan (PH).
Anwar berkata kerajaan sentiasa memastikan semua kawasan Parlimen diberi pertimbangan dalam aspek pembangunan tanpa mengira parti yang diwakili Ahli Parlimen kawasan berkenaan.
Beliau yang juga Menteri Kewangan memberikan contoh peruntukan Persekutuan bagi Terengganu yang meningkat daripada RM6 bilion di bawah pentadbiran kerajaan terdahulu kepada RM8.2 bilion pada 2027.
“Ini yang saya nak tegaskan. Saya selalu bandingkan dengan 2022 kerana peningkatan itu besar, daripada RM6 bilion kepada RM8.2 bilion,”
“Isu yang dibangkitkan sebenarnya berkaitan kaedah penyaluran dana secara langsung kepada Ahli Parlimen dan bukannya ketiadaan peruntukan bagi projek pembangunan di kawasan berkenaan,” katanya.
Katanya peruntukan pembangunan tidak disalurkan terus kepada Ahli Parlimen, termasuk di kawasan yang diwakili parti kerajaan, sebaliknya projek ditentukan melalui urusan dengan kerajaan negeri dan kementerian berkaitan, selain persetujuan menerusi perjanjian keyakinan dan perbekalan (CSA).
Tambahnya, keutamaan projek pembangunan negara ditentukan menerusi sesi libat urus dengan kementerian, jabatan, kerajaan negeri dan pejabat daerah, selain mengambil kira kemampuan kewangan kerajaan serta kepentingan rakyat setempat.
“Pendekatan itu menjadi asas kerajaan dalam menentukan projek yang perlu dilaksanakan bagi memastikan peruntukan pembangunan disalurkan berdasarkan keperluan dan keutamaan setiap kawasan.
“Jadi, ini dasar kita dalam menentukan projek, ertinya keutamaan pembangunan dalam kerangka belanjawan dan pembangunan negara,” katanya.


