
KUALA LUMPUR – Satu model penubuhan Suruhanjaya Reformasi Undang-Undang Malaysia yang bersesuaian dengan struktur perundangan dan pentadbiran negara sedang diteliti, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.
Beliau berkata kajian itu turut merujuk amalan di England dan Wales, Australia, New Zealand, Kanada serta India bagi mengenal pasti model terbaik untuk dilaksanakan di Malaysia.
“Fungsi utama yang sedang dipertimbangkan bagi suruhanjaya ini termasuklah menyemak undang-undang lapuk, mengenal pasti percanggahan dan kelompangan perundangan serta memudahkan bahasa undang-undang,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2027 (Belanjawan 2027) peringkat dasar bagi kementeriannya di Dewan Rakyat, pada Isnin.
Azalina berkata cadangan penubuhan suruhanjaya itu telah diteliti secara serius oleh Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) sejak Ogos 2023 menerusi kajian awal yang merangkumi fungsi, struktur dan model pelaksanaannya.
Menurut beliau, suruhanjaya itu turut dicadangkan menjalankan penyelidikan dan kajian perbandingan, mengadakan konsultasi awam serta mengemukakan syor pembaharuan undang-undang secara bebas, termasuk membantu menyediakan draf RUU untuk pertimbangan kerajaan.
Kajian berkenaan akan disusuli sesi libat urus dengan kementerian, agensi kerajaan, pengamal undang-undang, ahli akademik dan masyarakat sivil.
Bagi menyelaras usaha itu, penubuhan Jawatankuasa Pemandu Kajian Penubuhan Suruhanjaya Reformasi Undang-Undang Malaysia turut dicadangkan. Jawatankuasa itu akan dipengerusikan oleh Azalina dengan melibatkan agensi pusat dan kementerian berkaitan.
Beliau berkata hasil kajian serta syor yang dimuktamadkan akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri untuk pertimbangan sebelum perkembangan lanjut dimaklumkan kepada Dewan Rakyat.
Dalam pada itu, Azalina menjelaskan penetapan dasar dicadangkan kekal di bawah bidang kuasa kementerian dan Jemaah Menteri, manakala proses penggubalan undang-undang secara rasmi terus diselaraskan dengan Jabatan Peguam Negara.
“Penubuhan suruhanjaya ini penting bagi memastikan usaha pembaharuan undang-undang dilaksanakan secara berterusan dan tidak bergantung kepada mana-mana individu atau pentadbiran kerajaan,” katanya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketika membentangkan Belanjawan 2027 pada 9 Oktober lalu, memaklumkan bahawa kerajaan sedang mengkaji penubuhan suruhanjaya berkenaan bagi mengenal pasti undang-undang lapuk dan jurang perundangan.
Sementara itu, Azalina berkata penguatkuasaan Akta Perkhidmatan Parlimen 2025 (Akta 869) pada 1 Oktober lalu, yang bertujuan mengembalikan autonomi pentadbiran Parlimen selepas hampir tiga dekad, merupakan antara bukti komitmen Kerajaan Perpaduan dalam melaksanakan reformasi institusi.

