
SARATOK – Seorang lelaki tempatan berusia 34 tahun yang mempunyai lima rekod jenayah lampau ditahan polis bagi membantu siasatan kes curi motosikal milik seorang buruh di Simpang Krian pada 30 September lalu.
Ketua Polis Daerah Saratok, DSP Mathew Manggie berkata, suspek ditahan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) yang diketuai Inspektor Henry Muji di sebuah ladang sawit di Awik, pada Isnin.
Menurutnya, kejadian bermula apabila mangsa berusia 52 tahun meninggalkan motosikalnya yang mengalami kerosakan di sebuah perhentian bas di Simpang Krian pada 29 September lalu.
“Bagaimanapun, apabila pengadu kembali ke lokasi berkenaan pada 30 September untuk mengambil motosikalnya, dia mendapati kenderaan itu sudah tiada sebelum membuat laporan polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Mathew berkata, hasil siasatan mendapati suspek mengaku mengambil motosikal berkenaan bersama dua lagi rakannya sebelum kenderaan itu dibawa menggunakan sebuah kereta ke sebuah rumah di Nanga Atoi, Awik.
Menurutnya, motosikal terbabit kemudian disimpan di ruang dapur rumah berkenaan sebelum suspek dan seorang rakannya menerima wang sebanyak RM50 seorang daripada seorang lagi individu yang dipercayai terlibat.
“Motosikal itu disimpan di ruang dapur rumah berkenaan sebelum suspek dan seorang lagi rakannya diberikan wang sebanyak RM50 seorang oleh salah seorang individu yang terlibat,” katanya.
Susulan itu, polis turut merampas beberapa komponen motosikal termasuk kerangka, tangki minyak berwarna hitam, ekzos dan set penutup motosikal.
Turut dirampas beberapa peralatan dipercayai berkaitan siasatan, antaranya playar, spanar dan pemutar skru impak.
Dalam pada itu, Mathew berkata, semakan mendapati suspek mempunyai lima rekod lampau membabitkan pelbagai kesalahan, termasuk kesalahan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 dan kes mencuri.
“Ujian saringan air kencing terhadap suspek juga didapati positif amphetamine dan methamphetamine,” katanya.
Beliau berkata, seorang lagi individu yang dipercayai terlibat dalam kejadian itu telah ditahan lebih awal dan sedang menjalani tahanan reman di Penjara Sri Aman bagi membantu siasatan kes ugutan jenayah berasingan.
Individu sama turut ditahan bagi membantu siasatan kes curi getah skrap di Depo Ulu Awik mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.
Kes curi motosikal berkenaan disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan, dengan siasatan dilaporkan telah selesai.



