KEWIBAWAAN Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh sebagai penyandang Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau sejak akhir-akhir ini menjadi persoalan netizen apabila calon Pakatan Harapan (PH), Rahayu Hamzah atau Ayu Hamzah menerima sokongan orang ramai.
Hantaran Facebook oleh halaman Kisah & Sejarah bertajuk ‘PRN Melaka: Biru atau Merah? Siapa Pilihan Anda?’ itu memperlihatkan sokongan kepada Ayu, 43, selain menyindir kepimpinan dan pendekatan politik Akmal, 38.
Paling menarik perhatian, pengguna Facebook, Junaidy Joe Dy yang mempersoalkan pembangunan di Merlimau sepanjang Akmal menjadi wakil rakyat sejak 2021.
Beliau menegaskan kawasan yang terletak dalam Parlimen Jasin itu sudah lama tidak menikmati pembangunan sewajarnya, malah mengkritik Akmal yang lebih banyak bersuara mengenai pihak lain.
“Si mamat Akmal kasi kubur legasinya kerja untuk kawasan. Berkurun lama tiada apa-apa pembangunan!
“Yang dia (Akmal) tahu menyalak saja,” tulisnya dalam ruangan komen berkenaan.
Untuk rekod, Akmal baru-baru ini kalah dalam kes saman fitnah terhadap Ahli Parlimen Seputeh dari DAP, Teresa Kok berhubung isu pensijilan halal pada September 2024.
Ekoran itu, dia diperintah oleh mahkamah untuk membayar RM250,000 ganti rugi dan RM50,000 kos, menjadikan keseluruhannya berjumlah RM300,000.
Menjengah kembali ke ruangan komentar, Shahruddin Ahmad pula secara terbuka menyatakan sokongan kepada calon Parti Amanah Negara (Amanah) yang juga pengajar dengan tauliah mengajar al-Quran dari Jabatan Mufti Negeri Melaka itu.
“Teruskan Ayu. Nak cantik pangkah PH TERBAIK,” tulisnya.
Pandangan sama disuarakan Hipni Bohari yang menyifatkan PH sebagai pilihan terbaik, manakala Zulkifli Mohd Yusop menulis ringkas, “Pasti AMANAH!”
Tidak kurang juga yang menggunakan ungkapan seperti “Merah sudah tentu”, “Terbaik PH Amanah moga berjaya” dan “PH Ayu Hamzah” sebagai tanda sokongan kepada calon berkenaan.
Dalam masa sama, sikap politik Akmal turut menjadi bahan sindiran apabila Muhammad Yushak mengungkit kenyataan pemimpin UMNO itu berkaitan DAP.
Sementara itu, Laili Laili pula mengaitkan kritikannya terhadap Akmal dengan isu saman yang sebelum ini mendapat perhatian di media sosial.
Selain persoalan pembangunan dan kepimpinan, isu integriti turut dibangkitkan apabila pengguna Facebook, Hasbollah A Rahman menyatakan sokongannya terhadap agenda reformasi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau mengaitkan sokongannya kepada PH dengan usaha memerangi rasuah serta penyalahgunaan kuasa, yang menurutnya penting bagi memastikan kekayaan negara dikembalikan untuk kepentingan rakyat.
Malam tadi, Ayu, 43, yang juga Ketua Angkatan Wanita Amanah Negara (AWAN) Melaka diumum akan bertanding di DUN Merlimau sekali gus bakal bertempur dengan Akmal.
Pertembungan kedua-duanya sekali gus membuka ruang untuk pengundi menilai rekod perkhidmatan penyandang serta tawaran yang dibawa calon PH menjelang hari pengundian.




