PEMIMPIN DAP mencabar MCA keluar daripada gabungan BN atau mengusahakan pembubaran gabungan itu, bukannya sekadar bertindak keluar dewan sebagai tanda protes terhadap cara parti itu dilayan dalam isu pembahagian kerusi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka semalam.
Ahli Parlimen Kampar Chong Zhemin berkata, tindakan MCA yang diketuai Presidennya, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, meninggalkan dewan ketika majlis pengumuman calon BN di Melaka memperlihatkan kedudukan parti itu yang semakin terpinggir dalam gabungan berkenaan.
“Inilah akibatnya apabila MCA bertahun-tahun menjadi pak turut UMNO. UMNO (pula) bertindak seperti pembuli besar kerana MCA berulang kali menunjukkan bahawa, sekuat mana pun bantahannya, akhirnya parti itu tetap akan akur.
“Kini, UMNO bertindak lebih jauh dengan ‘kasi bungkus’ kerusi yang pernah ditandingi MCA bagi memberi laluan kepada kerjasama pilihan rayanya dengan Pas dan sekutunya.
“Rakan komponen yang bersama selama puluhan tahun diketepikan demi menghidupkan semula kerjasama politik dengan pihak lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, Ka Siong serta pemimpin MCA bertindak meninggalkan dewan ketika majlis pelancaran jentera BN di Melaka, dipercayai kerana tidak berpuas hati soal agihan kerusi.
MCA yang diperuntukkan dua kerusi tidak berpuas hati apabila mendakwa mereka tidak dibawa berbincang soal agihan kerusi selain kerusi tradisi turut diberikan kepada pihak lain.
Malah, MCA juga dakwanya, tidak dimaklumkan bahawa majlis pelancaran jentera turut disertai dengan pengumuman calon.
Pengerusi BN Melaka, Ab Rauf Yusoh menegaskan senarai calon telah dimuktamadkan selepas mengambil kira pelbagai faktor.
Namun Ab Rauf berkata, beliau belum menerima maklumat lengkap mengenai pendirian MCA.
Manakala Pengerusi BN, Ahmad Zahid Hamidi menegaskan masih ada ruang rundingan dengan MCA bagi menyelesaikan isu berkenaan kerana watikah calon belum ditandatangani.
Sementara itu, Chong mengingatkan MCA mengenai pendirian bekas presidennya, Liow Tiong Lai, pada September 2018 yang menyatakan parti itu akan mengusahakan pembubaran BN atau penyingkiran UMNO sekiranya rakan sekutunya itu memeterai pakatan rasmi dengan Pas.
Menurutnya, pendirian itu ketika itu dikemukakan atas alasan mempertahankan kesederhanaan dan prinsip yang menjadi asas penubuhan BN.
“Adakah MCA menentang kerjasama UMNO dengan Pas atas dasar prinsip, atau hanya tidak berpuas hati apabila kerjasama itu mengorbankan kerusi MCA?” soalnya.
Chong berkata, jika MCA benar-benar mahu mempertahankan maruah parti seperti ditegaskan Ka Siong, ia perlu berani keluar daripada BN atau mengusahakan pembubaran gabungan berkenaan, bukannya sekadar menyuarakan bantahan sebelum kembali menerima keputusan UMNO.
“Jika tidak, tindakan keluar dewan ini hanya akan dikenang sebagai satu lagi sandiwara kemarahan sebelum MCA kembali mengangguk setuju,” katanya.




