
KUCHING – Seramai 156 pemain golf senior dari enam negara bakal menyertai Kejohanan Golf Amatur Senior Antarabangsa Sarawak 2026 (SISAGC 2026) yang julung kali dianjurkan di Kelab Golf Sarawak (KGS) pada 24 hingga 25 Oktober ini.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, penganjuran kejohanan berkenaan merupakan antara usaha memperkukuh potensi pelancongan sukan serta memperkenalkan Sarawak kepada pengunjung antarabangsa.
Menurutnya, sukan golf semakin mendapat perhatian dan kerajaan Sarawak sentiasa memberikan sokongan terhadap penganjuran acara yang mampu merancakkan sektor pelancongan negeri.
“Golf adalah satu sukan yang meningkat naik dan di Sarawak pun kita dapat melihat kerajaan negeri ataupun kerajaan Sarawak memberi sokongan kepada sukan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media mengenai penganjuran SISAGC 2026, pada Khamis.
Abdul Karim berkata, kejohanan yang memasuki edisi sulung itu bakal menghimpunkan peserta dari Brunei, Indonesia, Singapura, Korea Selatan, Jepun dan Malaysia, termasuk pemain dari Sarawak serta Sabah.
Menurutnya, kehadiran peserta luar negara turut membuka peluang untuk mereka mengenali keunikan budaya, makanan dan destinasi pelancongan tempatan sepanjang berada di Kuching.
Beliau berkata, penganjuran kejohanan itu juga bertepatan dengan pelbagai acara yang berlangsung di sekitar Kuching Waterfront, termasuk festival perahu naga antarabangsa, persembahan kebudayaan dan jualan kraftangan.
Katanya, pengunjung yang hadir bukan sahaja dapat menyertai pertandingan, malah berpeluang menikmati pelbagai aktiviti pelancongan dan kebudayaan yang dianjurkan di negeri ini.

Sementara itu, Pengerusi Penganjur SISAGC 2026 merangkap pengasas Borneo SuperAct Events, Datuk Eddie Abdullah berkata, kejohanan berkenaan bakal melibatkan 134 peserta lelaki dan 22 wanita.
Menurutnya, pertandingan yang berlangsung selama dua hari itu menggunakan format permainan pukulan 36 lubang (36-hole stroke play) dengan jumlah hadiah wang tunai RM22,000.
“Matlamat jangka panjang kami bukan sekadar menganjurkan kejohanan selama satu hujung minggu, sebaliknya mahu menjadikan SISAGC sebagai acara tahunan tetap dalam kalendar serantau,” katanya.
Eddie berkata, penganjuran itu turut mendapat sokongan Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak menerusi geran acara pelancongan.
Menurutnya, kejohanan berkenaan mendapat pengesahan Kementerian Belia dan Sukan Malaysia serta Persatuan Golf Malaysia (MGA).
Beliau berkata, golongan pemain golf senior merupakan antara kumpulan pelancong yang berpotensi memberikan manfaat kepada ekonomi setempat kerana mereka lazimnya melakukan perjalanan bersama keluarga serta melanjutkan tempoh penginapan untuk meneroka destinasi yang dikunjungi.



