KSN mahu reformasi birokrasi dipercepat, RM5.79 juta dijimat menerusi ‘paperless’

KUALA LUMPUR – Reformasi perkhidmatan awam perlu diterjemahkan kepada tindakan konkrit, termasuk memotong prosedur yang tidak perlu, mempercepat urusan rakyat dan memperluas pendigitalan bagi memastikan pelaksanaan Belanjawan MADANI 2027 lebih berkesan.

Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, kementerian dan agensi kerajaan perlu menilai semula proses kerja yang terlalu panjang, syarat bertindih serta keperluan dokumen berulang yang membebankan rakyat dan sektor perniagaan.

Beliau berkata, urusan yang boleh diputuskan pada peringkat operasi perlu diselesaikan di peringkat berkenaan, tertakluk kepada undang-undang, peraturan dan had kuasa yang berkuat kuasa.

“Kita mesti meneliti semula proses kerja yang terlalu panjang, syarat yang bertindih, keperluan dokumen yang berulang dan kelulusan yang tidak lagi memberikan nilai tambah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Sesi Khas Pasca Pembentangan Belanjawan 2027 dan Pelancaran Aplikasi MyResQ di Dewan Tunku Canselor, Universiti Malaya (UM), di sini, hari ini.

Shamsul Azri berkata, kerajaan sudah meluluskan Akta Iltizam Kecekapan Perkhidmatan Kerajaan yang mewajibkan setiap agensi melaksanakan semakan peraturan setiap tiga tahun.

Katanya, kementerian dan agensi juga perlu mengenal pasti proses berulang yang boleh diautomasikan, sistem yang boleh diintegrasikan serta perkhidmatan yang boleh disediakan sepenuhnya secara digital.

Beliau berkata, pelaksanaan pentadbiran tanpa kertas menunjukkan hasil apabila sebanyak 123,325 rim kertas berjaya dijimatkan pada Ogos lalu, bersamaan RM1.48 juta.

“Alhamdulillah, usaha ini telah menunjukkan hasil. Pada Ogos 2026, sebanyak 123,325 rim kertas berjaya dijimatkan bersamaan RM1.48 juta, manakala penjimatan keseluruhan adalah sebanyak 482,940 rim dengan nilai sebanyak RM5.79 juta,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, reformasi perkhidmatan awam turut memerlukan penyelarasan rentas kementerian dan agensi supaya masalah rakyat tidak terperangkap dalam sempadan organisasi kerajaan.

Menurutnya, setiap projek atau inisiatif yang membabitkan beberapa agensi perlu mempunyai peneraju yang jelas, jadual pelaksanaan bersama dan mekanisme penyelesaian isu yang pantas.

Pada majlis sama, Shamsul Azri melancarkan aplikasi MyResQ untuk pelaksanaan di seluruh negara bagi memperkukuh respons kecemasan berasaskan komuniti.

Aplikasi itu menghubungkan individu terlatih dalam bantuan resusitasi kardiopulmonari (CPR) dengan mangsa kecemasan jantung berhampiran, selain membantu mengenal pasti lokasi alat defibrilator luaran automatik (AED).

Menurut beliau, individu terlatih yang berdaftar sebagai Citizen Responder boleh menerima pemberitahuan kecemasan dalam lingkungan 500 meter dari lokasi kejadian bagi memberikan bantuan awal sebelum ketibaan ambulans.

Sehingga kini, MyResQ merekodkan lebih 9,500 pengguna berdaftar, 3,500 Citizen Responder yang disahkan dan 600 peranti AED berdaftar, selain 503 pengaktifan sistem termasuk 25 kejadian henti jantung di luar hospital.

Shamsul Azri berkata, inisiatif itu membuktikan teknologi bukan sekadar memudahkan urusan, malah boleh menggerakkan sumber komuniti secara tersusun bagi menyelamatkan nyawa.

Beliau menegaskan, keberkesanan reformasi dan pelaksanaan belanjawan perlu diukur berdasarkan manfaat yang diterima rakyat, bukan sekadar proses pentadbiran atau sistem yang dibangunkan.

  • Related Posts

    Jerebu: Semua sekolah bawah lapan PPD di Selangor ditutup esok, UASA ditangguh

    SHAH ALAM – Semua sekolah di bawah lapan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) di Selangor diarahkan tutup pada Jumaat susulan kemerosotan kualiti udara akibat jerebu. Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek…

    Lebih lanjut

    teruskan membaca
    Jerebu rentas sempadan: Kerajaan sudah usaha sedaya mungkin – Anwar

    KUALA LUMPUR – Kerajaan telah melakukan segala usaha sebaik mungkin menerusi rundingan dengan Indonesia bagi menangani isu jerebu rentas sempadan yang semakin membimbangkan ketika ini. Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar…

    Lebih lanjut

    teruskan membaca

    Perlu dibaca

    Maritim Sandakan rampas aset lebih RM508,000, tahan 10 individu

    • By Fandi
    • October 15, 2026
    Maritim Sandakan rampas aset lebih RM508,000, tahan 10 individu

    Jerebu: Semua sekolah bawah lapan PPD di Selangor ditutup esok, UASA ditangguh

    Jerebu: Semua sekolah bawah lapan PPD di Selangor ditutup esok, UASA ditangguh

    ADUN Tellian gesa tindakan tegas gempur dadah sintetik, judi dalam talian

    ADUN Tellian gesa tindakan tegas gempur dadah sintetik, judi dalam talian

    Miliki 120 telur penyu, lelaki dipenjara setahun, denda RM50,000

    • By Fandi
    • October 15, 2026
    Miliki 120 telur penyu, lelaki dipenjara setahun, denda RM50,000

    Jerebu rentas sempadan: Kerajaan sudah usaha sedaya mungkin – Anwar

    Jerebu rentas sempadan: Kerajaan sudah usaha sedaya mungkin – Anwar

    ADUN Tellian cadang kuarters baharu Mukah dikongsi bersama penjawat awam Persekutuan

    ADUN Tellian cadang kuarters baharu Mukah dikongsi bersama penjawat awam Persekutuan