
KUCHING – Kerajaan Sarawak dicadangkan agar membenarkan penjawat awam Persekutuan menggunakan kemudahan kuarters baharu kerajaan negeri yang bakal dibina di Bahagian Mukah bagi menangani isu kekurangan tempat tinggal kakitangan kerajaan di kawasan berkenaan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine berkata, cadangan itu mengambil kira keperluan mendesak dalam menyediakan kediaman yang selesa kepada penjawat awam Persekutuan dan negeri yang berkhidmat di Mukah.
Menurutnya, sejumlah RM103.4 juta telah diperuntukkan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) bagi pelaksanaan Projek Pembangunan Kuarters Baharu Kerajaan Sarawak (Pakej 2) di Mukah.
“Kuarters kerajaan ini bakal menyediakan kemudahan penempatan bagi penjawat awam yang berkhidmat di Mukah.
“Di samping itu, saya mencadangkan agar kemudahan ini nanti dapat digunakan bersama oleh kakitangan awam Persekutuan memandangkan kuarters kerajaan Persekutuan di Mukah ketika ini sangat tidak mencukupi,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan (2027) 2026 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak,pada Khamis.
Mengulas lanjut, Royston menegaskan bahawa penyediaan kemudahan kediaman yang mencukupi amat penting bagi menjaga kebajikan penjawat awam, khususnya mereka yang terpaksa bertugas jauh dari kawasan asal atau kampung halaman.
Menurut beliau, pendekatan penggunaan bersama kuarters kerajaan negeri itu bukan sahaja berpotensi mengoptimumkan fasiliti kemudahan awam, malah ia turut memperkukuhkan lagi semangat kerjasama antara pentadbiran Kerajaan Sarawak dan Kerajaan Persekutuan.
Tambahnya, kemudahan tempat tinggal yang selesa dan kondusif amat diyakini dapat membantu penjawat awam memberikan tumpuan sepenuhnya kepada tanggungjawab tugas, sekali gus memastikan kelancaran sistem penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat setempat.





