
RANAU – Polis menjalankan siasatan berhubung video sekumpulan remaja membaling batu ke arah seorang pelancong warga Itali ketika berehat di Padang Kampung Lohan, Ranau.
Ketua Polis Daerah Ranau, Superintenden Mursalin Mahmud berkata, satu pasukan ditubuhkan bagi menyiasat kejadian itu, termasuk menemubual individu berkaitan dan melawat tempat kejadian.
“Siasatan turut merangkumi pertemuan dengan pihak yang membenarkan pelancong berkenaan mendirikan khemah di padang terbabit.
“Nicola Chiacchio berjaya dikesan berada di Kem Cinta Mata, Pitas sebelum beberapa pegawai dan anggota polis digerakkan untuk menjalankan siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan media, di sini, pada Rabu.

Dalam pada itu, beliau berkata, Nicola pengembara dari Itali yang menggunakan basikal untuk mengelilingi Sabah, dilaporkan singgah berehat di Padang Kampung Lohan pada 8 September lalu.
“Ketika berehat untuk tidur pada waktu malam, beliau didatangi sekumpulan remaja yang membaling batu ke arahnya.
“Nicola kemudian memuat naik video kejadian itu bagi menyuarakan kebimbangan dan memberi kesedaran kepada pihak terlibat, khususnya ibu bapa, sebelum memadamkan video berkenaan pada 9 Oktober lalu.
“Nicola tidak membuat laporan polis kerana beranggapan kumpulan remaja terbabit hanya mahu menakutkannya pada waktu malam dan tidak berniat mencederakannya,” kongsinya.
Menurut Mursalin, Nicola turut memaklumkan bahawa beberapa remaja dipercayai telah memohon maaf kepadanya menerusi media sosial.
“Polis memandang serius kejadian itu dan masyarakat diingatkan supaya tidak bertindak tanpa memikirkan kesannya,” jelasnya.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada masyarakat Ranau yang prihatin dan sentiasa menyalurkan maklumat demi kesejahteraan serta keamanan daerah itu.
“Sikap masyarakat yang mengambil berat dan menghargai kehadiran pelancong perlu diteruskan bagi memastikan Ranau kekal sebagai destinasi yang selamat dan mesra pengunjung,” ujarnya.
Foto : IPD Ranau




