TANGGA BATU – Kenaikan bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) tidak seharusnya disifatkan gula-gula politik menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, namun dilihat sebagai usaha kerajaan mendengar keluhan rakyat berhubung peningkatan kos sara hidup.
Suri rumah, Norhazlinda Yusof, 36, berkata, beliau bersyukur dengan peningkatan bantuan itu kerana sedikit sebanyak dapat meringankan beban keluarga berdepan kenaikan harga barangan keperluan harian.
Menurutnya, peningkatan bantuan itu amat bermakna bagi keluarga yang berdepan kenaikan harga barangan keperluan harian, terutama mereka yang mempunyai anak kecil.
“Tak lah (gula-gula politik), bagi saya Perdana Menteri dengar macam orang kata sekarang barang naik, apa naik. Jadi, diorang (kerajaan) bantu kita tu pun dah syukur.
“Kalau kata nak undi pun orang kata tak kisahlah siapa menang kalah apa pun, tu adatlah kan. Tapi dari segi kata nak membantu (rakyat mengurangkan kos perbelanjaan) dah memang sangat syukurlah, Alhamdulillah,” katanya.
Dia berkata demikian ketika ditemui The Malaysia Press (TMP), di Program MADANI Kita (PMK) Paya Rumput@Tangga Batu di Krubong, pada Sabtu yang dirasmikan oleh Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil.
Turut hadir sama, Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM), Mohd Hisyamuddin Ghazali serta Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Adam Adli Abd Halim.

Mengulas peluasan penggunaan SARA bagi pembelian barangan basah dan segar, Norhazlinda berkata, kemudahan itu amat bermakna kerana ia merupakan antara keperluan harian yang memerlukan perbelanjaan berulang.
Katanya, peluasan tersebut bukan sahaja memberi lebih banyak pilihan kepada penerima, malah memudahkan urusan membeli barangan keperluan dapur.
“Dulu, kita kena asingkan barang dalam dua troli. Tetapi sekarang apabila dimaklumkan sudah boleh membeli lebih banyak barangan, saya sangat gembira.
“Lebih mudah kerana kita boleh terus membuat pembayaran dan hanya perlu menambah wang sendiri jika jumlah pembelian melebihi baki bantuan,” katanya.








