
TAWAU – Bantuan khas kewangan secara sekali bayar sebanyak RM1,000 yang diumumkan menerusi Belanjawan 2027 disifatkan bantuan ‘masa sulit’ golongan pemandu teksi kerana mampu meringankan beban kewangan khususnya ketika berdepan pelbagai kos operasi dan sara hidup.
Penolong Setiausaha Gabungan Persatuan Teksi Seluruh Sabah, Saripudin Tawile, 55, berkata, dengan bantuan ini, kini pemandu teksi boleh menarik nafas lega.
“Pemandu teksi banyak yang terjejas pendapatan berikutan faktor ekonomi tidak menentu selain saingan perkhidmatan e-hailing.
“Kami amat berterima kasih kepada Kerajaan MADANI dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana bantuan itu dapat meringankan beban yang kami tanggung,” katanya ketika ditemui wartawan The Malaysia Press di Tawau, pada Sabtu.

Saripudin yang juga Timbalan Pengerusi Persatuan Pemilik Pemandu Teksi Rumpun Melayu Tawau turut memuji inisiatif subsidi bahan api sebanyak 800 liter yang diberikan kepada pemandu teksi di bawah penambahbaikan program BUDI MADANI 95.
“Kami memohon kad fleet (fleet card) daripada stesen minyak untuk mendapatkan subsidi itu dan itu amat membantu,” jelasnya.
Sementara itu, pemandu teksi, Jabba Selamat, 54, turut menzahirkan penghargaan dan bersyukur atas bantuan terbabit.
“Alhamdulillah syukur sebab bantuan ini ada (RM1,000) sebab memang kami ada susah sedikit dan ‘sakit’.
“Saya lebih 20 tahun memandu teksi dan bantuan yang kami dapat ini saya amat berterima kasih. Sama juga dengan subsidi 800 liter itu.
“Harap bantuan ini ada setiap tahun,” kongsinya.
Anwar ketika membentangkan Belanjawan 2027 pada Jumaat memaklumkan kerajaan akan menyalurkan bantuan khas RM1,000 kepada 38,000 pemandu teksi termasuk kereta sewa, selain 15,000 pemandu bas sekolah di seluruh negara.
Bantuan berkenaan akan disalurkan pada minggu hadapan sebagai antara langkah memulangkan hasil penjualan nombor pendaftaran khas H kepada rakyat.







