CYBERJAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) merakam percakapan seorang individu bagi membantu siasatan berhubung kandungan media sosial yang disyaki menghina agama Islam.
MCMC dalam kenyataan hari ini berkata, kandungan yang dimuat naik menerusi Facebook itu dikaitkan dengan penggunaan perkataan ‘lighad’ yang merujuk kepada Surah al-Hashr, ayat 18, dalam ucapan pembentangan Belanjawan 2027 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada 9 Oktober lalu.
Kandungan berkenaan didakwa mempersenda ayat suci al-Quran sehingga menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat.
“Sehubungan itu, MCMC mengambil rakaman percakapan individu berkenaan bagi membantu siasatan.
“Satu unit telefon bimbit berserta eSIM turut disita untuk tujuan pemeriksaan forensik,” menurut kenyataan itu.
Kes disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588], yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Mengulas lanjut, MCMC menegaskan kebebasan bersuara di media sosial perlu diamalkan secara bertanggungjawab dengan menghormati sensitiviti agama dan memelihara keharmonian masyarakat berbilang kaum serta agama.
“Kebebasan bersuara di media sosial perlu diamalkan secara bertanggungjawab dengan menghormati sensitiviti agama serta memelihara keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama,” menurut kenyataan itu.






