
TUARAN – Industri ekonomi gig berpotensi membuka lebih banyak peluang kepada golongan belia Sabah untuk menjana pendapatan dan membangunkan kemahiran seiring perkembangan teknologi semasa.
Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, kemahiran dan kepakaran dalam bidang teknologi semakin penting bagi membolehkan golongan muda bergerak maju dalam landskap ekonomi yang berkembang pesat.
“Industri gig bukan sahaja melibatkan golongan dewasa, malah turut memberi ruang kepada anak muda untuk menceburi pelbagai aktiviti ekonomi berasaskan teknologi.
“Pada masa kini, dunia amat bergantung kepada kepantasan teknologi. Maka, kemahiran dan kepakaran amat diperlukan bagi mereka yang ingin bergerak maju ke hadapan.
“Sudah pasti aktiviti gig ini banyak melibatkan bukan sahaja orang dewasa, tetapi juga anak-anak muda,” katanya ketika ditemui media selepas Majlis Sambutan Hari Sukan Negara Peringkat Negeri Sabah 2026,di padang istiadat Tuaran di sini, pada Sabtu.
Sehubungan itu, Nizam berharap peluang dan kemudahan yang disediakan kerajaan untuk menyokong usahawan gig dapat diperluas kepada belia di Sabah bagi menggalakkan penyertaan mereka dalam industri berkenaan.
“Peluasan peluang itu diharap dapat menyediakan lebih banyak laluan kepada anak muda di negeri ini untuk menceburi ekonomi gig dan memanfaatkan perkembangan teknologi bagi meningkatkan potensi ekonomi mereka,” ujarnya.






