
KOTA KINABALU – Belanjawan negara yang dibentangkan kerajaan disifatkan seimbang kerana memberi tumpuan kepada usaha membantu rakyat menangani kos sara hidup, selain merancang pembangunan ekonomi negara berteraskan teknologi tinggi.
Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Mohammad Yusof Apdal berkata, itu penting bagi memastikan kebajikan rakyat terus diberi perhatian meskipun negara berdepan cabaran ekonomi susulan perkembangan global.
“Belanjawan semalam, pada saya, adalah satu belanjawan yang amat seimbang. Orang ramai mengambil perhatian terhadap cara kita membantu rakyat di negara ini mengatasi masalah kos sara hidup yang sehingga kini mencabar disebabkan suasana global yang kita semua maklum.
“Usaha menangani tekanan kos sara hidup perlu diseimbangkan dengan perancangan pembangunan ekonomi supaya negara mempunyai asas kukuh untuk menghadapi cabaran pada masa depan,” katanya dalam program Kupi-Kupi Bah Kita bersama media Sabah anjuran Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), di sini pada Sabtu.

Katanya, pendekatan itu selari dengan matlamat MOSTI untuk menjadikan Malaysia sebuah negara berteknologi tinggi, di samping memastikan kemajuan yang dicapai dapat memberikan manfaat kepada rakyat.
“Pembangunan berasaskan sains, teknologi dan inovasi perlu bergerak seiring dengan usaha meningkatkan kesejahteraan masyarakat supaya manfaat kemajuan negara dapat dirasai secara lebih meluas.
“Mengulas mengenai peruntukan kepada Sabah, saya secara umumnya, mendapati bahawa terdapat peningkatan berbanding tahun sebelumnya berdasarkan pemerhatiannya terhadap belanjawan berkenaan.
“Peningkatan itu diharapkan dapat dimanfaatkan sebaiknya bagi membantu rakyat Sabah yang masih berdepan pelbagai cabaran, termasuk tekanan kos sara hidup.
“Secara umumnya, belanjawan Sabah memang ada peningkatan berbanding tahun sebelumnya dan kita harap dengan peningkatan ini dapat dimanfaatkan, terutamanya oleh rakyat yang banyak berdepan dengan beberapa masalah,” ujarnya.
Menurut Mohammad Yusof, peruntukan tambahan itu dapat membantu meringankan beban rakyat Sabah serta menyokong usaha menangani cabaran ekonomi yang dihadapi masyarakat ketika ini.
“Dalam masa yang sama, saya ingin menyatakan penghargaan kepada pengamal media di Sabah atas sumbangan mereka dalam menyampaikan maklumat serta meningkatkan kefahaman masyarakat mengenai usaha yang dilaksanakan MOSTI.
“Pertemuan bersama rakan media di Kota Kinabalu merupakan program tahunan kementerian bagi mengeratkan hubungan dengan pengamal media yang selama ini memainkan peranan penting dalam menyampaikan maklumat kepada rakyat,” terangnya.

Tambah beliau, kerjasama media membantu menjelaskan fungsi dan peranan MOSTI, khususnya dalam usaha membangunkan negara melalui bidang sains, teknologi dan inovasi.
“Saya bersyukur kerana hari ini berpeluang bertemu rakan-rakan media di Kota Kinabalu sebagai satu program tahunan kami di bawah MOSTI untuk menemui media yang telah banyak menyumbang kepada usaha kita menjelaskan kepada rakyat, terutama tentang usaha yang dilaksanakan oleh MOSTI selama ini.
“Saya turut merakamkan penghargaan kepada media Sabah atas sumbangan mereka dalam memberikan penjelasan dan meningkatkan kefahaman masyarakat mengenai inisiatif kementerian.
“Selain itu, saya berharap agar hubungan baik antara MOSTI dengan pengamal media dapat terus diperkukuh demi memastikan maklumat berkaitan pembangunan negara disampaikan dengan berkesan,” katanya lagi.







