
KOTA KINABALU – Kerajaan bersetuju memperkenalkan potongan cukai khas kepada pihak yang menyumbang makanan dan peralatan bagi menyokong pelaksanaan Inisiatif Ihsan Food Bank (i-FB), berkuat kuasa mulai 1 Januari 2027 hingga 31 Disember 2030.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, insentif berkenaan merupakan antara 44 langkah insentif cukai yang diumumkan dalam Belanjawan 2027, susulan syor Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) yang diterima kerajaan.
“Pengenalan insentif itu mencerminkan komitmen kerajaan untuk memperkukuh pelaksanaan i-FB melalui penglibatan lebih luas sektor korporat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan individu dalam membantu golongan yang memerlukan.
“Insentif ini juga menjadi galakan kepada lebih banyak pihak untuk menyumbang makanan, peralatan serta sokongan operasi bagi memastikan pelaksanaan inisiatif itu dapat diperluas dan dilaksanakan dengan lebih berkesan,” katanya dalam sidang media Majlis UMS Alumni Homecoming & Fundraising Dinner 2026, di sini pada Sabtu.
Armizan berkata, KPDN merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri dan Kementerian Kewangan atas penerimaan syor kementerian itu untuk menjadikan insentif cukai berkenaan sebahagian daripada langkah yang diumumkan dalam Belanjawan 2027.
“Potongan cukai khas itu selaras dengan usaha memperkukuh ekosistem pelaksanaan food bank menerusi penyelarasan bersepadu yang membuka peluang kepada penyertaan pelbagai pihak dalam menangani cabaran kos sara hidup.
“Bagaimanapun, butiran terperinci berhubung mekanisme pelaksanaan insentif cukai itu akan diselaraskan bersama Kementerian Kewangan bagi memastikan pelaksanaannya dapat dijalankan dengan teratur.
“Inisiatif i-FB merupakan antara ikhtiar menangani kos sara hidup yang digerakkan menerusi pendekatan seluruh negara (whole of nation), dengan Bahagian Kos Sara Hidup KPDN bertindak sebagai urus setia bagi menyelaras penglibatan pelbagai pihak,” ujarnya.
Tambahnya, pendekatan itu merangkumi kerjasama antara agensi kerajaan, sektor swasta, NGO dan individu bagi membentuk ekosistem sokongan yang lebih menyeluruh, khususnya untuk membantu golongan yang berdepan tekanan kos sara hidup,” ujarnya.
“Pelaksanaan i-FB berteraskan konsep 3S, iaitu Santuni Komuniti, Sayangi Alam dan Selamatkan Makanan, yang menggabungkan usaha membantu masyarakat dengan pengurangan pembaziran makanan serta perlindungan alam sekitar.
“Menerusi pendekatan ini, sumbangan makanan dapat disalurkan kepada golongan sasaran yang memerlukan, manakala sokongan berbentuk peralatan dan operasi membantu memperkukuh keupayaan pengurusan serta pengagihan sumbangan,” jelasnya.
Dalam perkembangan berkaitan, Gerakan Pengguna Siswa (GPS) Universiti Malaysia Sabah (UMS) turut menerima geran awal i-FB bagi menyokong pelaksanaan inisiatif berkenaan di peringkat institusi pendidikan dan komuniti setempat.
“Geran ini akan digunakan untuk menyediakan peralatan serta ruangan khusus i-FB di kampus bagi memudahkan proses penerimaan, penyimpanan dan pengagihan sumbangan makanan kepada mahasiswa yang memerlukan.
“Penglibatan GPS dijangka membantu menyelaraskan pelaksanaan i-FB di institusi pendidikan masing-masing, sekali gus membuka ruang kepada lebih banyak pihak untuk menyumbang dalam usaha meringankan beban kos sara hidup mahasiswa.
“Selain membantu golongan yang memerlukan, inisiatif itu turut memberi penekanan kepada usaha menyelamatkan makanan daripada pembaziran, sekali gus mengurangkan kesan terhadap alam sekitar melalui pengurusan lebihan makanan yang lebih sistematik.
“KPDN percaya kerjasama strategik antara kerajaan, sektor korporat dan pertubuhan sukarela, disokong insentif cukai yang diperkenalkan, mampu memperluas penyertaan masyarakat dalam i-FB serta memperkukuh usaha bersama menangani kos sara hidup,” jelasnya.






