
GERIGAT – Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) terus memperkukuh komitmen menjaga kebajikan dan kesejahteraan komuniti nelayan menerusi penyaluran bantuan perumahan dan kebajikan berjumlah RM461,500 kepada Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Gerigat.
Pengerusi LKIM, Muhammad Faiz Fadzil berkata, bantuan berkenaan mencerminkan usaha berterusan kerajaan dalam memastikan komuniti nelayan menikmati kualiti hidup yang lebih baik menerusi penyediaan kediaman yang selamat, selesa dan kondusif.
Menurutnya, inisiatif menerusi Projek Khas Perumahan Nelayan (PKPN) bukan sahaja memberi tumpuan kepada pembangunan ekonomi dan pasaran, malah merangkumi aspek kebajikan asas bagi menjamin kesejahteraan keluarga nelayan.

“Pendekatan ini penting dalam memastikan kebajikan komuniti nelayan terus diberi perhatian, khususnya melalui penyediaan kediaman yang lebih selamat dan selesa serta bantuan kepada golongan yang memerlukan,” katanya pada Majlis Penyerahan Bina Baharu Rumah Nelayan Gerigat di Kampung Gerigat, di sini, pada Jumaat.
Menerusi peruntukan PKPN Tahun 2026 dan sumbangan kebajikan itu, sebanyak RM360,000 disalurkan bagi pembinaan rumah baharu untuk empat nelayan yang layak, manakala RM100,000 diperuntukkan untuk kerja-kerja baik pulih kediaman lima nelayan.
Selain itu, sumbangan bakul makanan bernilai RM1,500 turut disalurkan kepada 30 penerima, dengan setiap seorang menerima bantuan bernilai RM50.
Faiz berkata, inisiatif PKPN mencerminkan pendekatan holistik LKIM dalam mentransformasikan sosioekonomi golongan nelayan dengan memberi perhatian bukan sahaja kepada aspek pembangunan ekonomi, malah penyediaan kediaman yang kondusif serta jaminan kebajikan asas keluarga nelayan di seluruh negara.
Antara penerima bantuan perumahan yang ialah Amadi Hassan, Bolhi Entalay, Mohd Azlan Sandin dan Mohd Nizam Jalani.
Majlis berkenaan turut dihadiri Ahli Jemaah LKIM, Abang Abdul Halili Abang Naili; Timbalan Pengarah LKIM Negeri Sarawak, Muhammad Dzulkarnain Othman; Pegawai Wilaya IV Betong, Nurhaizawati Samsimon; Pegawai Tadbir merangkap Wakil Pejabat Daerah Kabong, Ahmad Sabree Salleh; Pengerusi PNK Gerigat, Abang Ahmad Abang Resdi serta Pengerusi PNK Kabong, Darmizan Daud.




