
KUALA LUMPUR – Kerajaan memperuntukkan lebih RM130 juta bagi memperkasa industri karya kreatif negara, meliputi sektor perfileman, muzik dan kandungan kreatif tempatan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, hal ini sekali gus membuka peluang pekerjaan serta mengangkat karya Malaysia kepentas antarabangsa.
“Ini termasuk pemberian insentif kepada produksi filem dan animasi tempatan serta antarabangsa yang menjalani penggambaran di Malaysia dan insentif tambahan bagi karya menampilkan budaya kita dan kenegaraan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada pembentangan Belanjawan 2027 pada Jumaat.
Tambah Anwar lagi, dalam usaha memperkukuh ekosistem animasi negara, kerajaan turut menyasarkan penghasilan 20 harta intelek baharu serta mengkomersialkan watak-watak Malaysia ke pasaran global.
“Mulai 2027, tiket filem dan persembahan teater tempatan di Wilayah Persekutuan akan dikecualikan sepenuhnya daripada duti hiburan. Kerajaan negeri turut diseru mengambil langkah sama bagi menyokong penggiat seni tempatan,” katanya.





