Belanjawan 2027 ringankan beban rakyat, Sabah kekal penerima peruntukan terbesar – Hajiji

KOTA KINABALU – Belanjawan Negara 2027 disifatkan sebagai belanjawan komprehensif yang mampu meringankan beban kewangan rakyat, selain mencerminkan kekukuhan ekonomi dan kedudukan kewangan negara.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, belanjawan yang dibentangkan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu memberi manfaat kepada seluruh rakyat.

Katanya, ia menerusi pengurangan cukai serta pemberian insentif kepada penjawat awam, golongan peniaga dan semua lapisan masyarakat.

“Saya melihat belanjawan ini memberi manfaat kepada seluruh rakyat Malaysia menerusi pengurangan cukai serta pemberian insentif kepada penjawat awam, golongan peniaga dan semua lapisan masyarakat.

“Ia juga membuktikan kekukuhan ekonomi dan kedudukan kewangan negara kita, walaupun berdepan dengan kesan krisis yang sedang berlaku di Asia Barat,” katanya dalam satu kenyataan media, di sini, pada Jumaat.

Dalam pembentangan itu, Anwar mengumumkan Sabah kekal sebagai negeri penerima peruntukan Persekutuan terbesar dengan jumlah RM18.6 bilion bagi tahun hadapan, meningkat sebanyak 6.25 peratus berbanding RM17.6 bilion pada tahun ini.

“Peningkatan sebanyak RM1 bilion itu memperlihatkan pertambahan peruntukan Persekutuan kepada Sabah bagi menyokong pelaksanaan pelbagai program dan keperluan pentadbiran serta pembangunan negeri.

“Selain peruntukan berkenaan, kerajaan Persekutuan turut menyediakan RM3.3 bilion menerusi Belanjawan 2027 bagi meneruskan projek jalan raya di Sabah dan Sarawak.

“Peruntukan itu mencerminkan kesinambungan perhatian kerajaan terhadap pembangunan infrastruktur di kedua-dua negeri berkenaan, khususnya bagi menyokong keperluan perhubungan dan meningkatkan akses penduduk kepada kemudahan asas,” ujarnya.

Dalam sektor pendidikan, Anwar turut mengumumkan persetujuan kerajaan untuk menggandakan jumlah tawaran tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) kepada pelajar dari Sabah dan Sarawak.

“Langkah itu membolehkan seramai 4,200 pelajar dari kedua-dua negeri berkenaan berpeluang melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi setiap tahun.

“Peningkatan tawaran tajaan itu membuka peluang lebih luas kepada pelajar Sabah untuk melanjutkan pendidikan ke peringkat lebih tinggi, sekali gus menyokong usaha melahirkan modal insan berkemahiran bagi memenuhi keperluan pembangunan negeri pada masa hadapan,” jelasnya.

Sementara itu, kerajaan turut memberi perhatian kepada usaha memperkukuh sistem bekalan elektrik di Sabah menerusi pemasangan sistem Static Synchronous Compensator (STATCOM) di Pencawang Masuk Utama Dam Road dan Segaliud dengan kos RM204 juta.

“Perdana Menteri mengumumkan, kerajaan bersetuju meneruskan projek Talian Penghantaran Southern Link sebagai langkah jangka panjang bagi memastikan kelangsungan bekalan elektrik di Sabah.

“Pelaksanaan kedua-dua inisiatif itu merupakan antara langkah yang diumumkan kerajaan dalam usaha memperkukuh sistem bekalan elektrik negeri, yang penting bagi memenuhi keperluan pengguna domestik serta menyokong aktiviti ekonomi dan pembangunan.

“Secara keseluruhan, Belanjawan Negara 2027 merangkumi beberapa aspek penting bagi Sabah, termasuk peruntukan Persekutuan, pembangunan jalan raya, peluang pendidikan dan pengukuhan infrastruktur bekalan elektrik, selain langkah yang diumumkan untuk membantu rakyat menghadapi tekanan kewangan,” jelasnya

Belanjawan MADANI 2027 bertemakan “Menggapai di Langit, Mengakar di Bumi” dibentangkan berteraskan lapan lunas utama, termasuk mengutamakan pembangunan semua negeri dan meningkatkan kesejahteraan rakyat.

Related Posts

Pan Borneo Sabah Fasa 1B disasar siap akhir 2027

KOTA KINABALU – Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah Fasa 1B dan Sarawak-Sabah Link Road 1 disasarkan siap menjelang akhir 2027, dengan kerajaan meneruskan peruntukan RM3.3 bilion bagi pembangunan jalan raya…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Pembangunan Lembah Chuping, Pelabuhan Darat Perlis diberi tumpuan

KANGAR – Pembangunan Lembah Chuping, Pelabuhan Darat Perlis serta penaiktarafan Kompleks Usahawan Tempatan Kuala Perlis antara inisiatif khusus negeri ini yang diumumkan menerusi Belanjawan MADANI 2027. Perdana Menteri merangkap Menteri…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Gaji minimum RM2,000 bantu tingkat kecukupan simpanan persaraan ahli – KWSP

Gaji minimum RM2,000 bantu tingkat kecukupan simpanan persaraan ahli – KWSP

Istilah ‘waad’, ‘lighad’ ketika pembentangan Belanjawan 2027 curi tumpuan

Istilah ‘waad’, ‘lighad’ ketika pembentangan Belanjawan 2027 curi tumpuan

Pan Borneo Sabah Fasa 1B disasar siap akhir 2027

  • By Ezmie
  • October 9, 2026
Pan Borneo Sabah Fasa 1B disasar siap akhir 2027

Konsolidasi fiskal, bantuan bersasar penting perkukuh daya tahan ekonomi

Konsolidasi fiskal, bantuan bersasar penting perkukuh daya tahan ekonomi

Peruntukan RM8 bilion untuk TVET bukti Kerajaan MADANI angkat pembangunan tenaga kerja berkemahiran

Peruntukan RM8 bilion untuk TVET bukti Kerajaan MADANI angkat pembangunan tenaga kerja berkemahiran

RM1.3 bilion naik taraf 682 sekolah daif, JPA taja 4,200 anak kelahiran Sabah dan Sarawak

  • By Ezmie
  • October 9, 2026
RM1.3 bilion naik taraf 682 sekolah daif, JPA taja 4,200 anak kelahiran Sabah dan Sarawak