
KUCHING – Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak berkemungkinan dibubarkan selepas selesai persidangan belanjawan negeri bulan ini, namun keputusan mengenainya kekal menjadi hak prerogatif Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Ketua Penerangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, kemungkinan itu mengambil kira tempoh penggal DUN semasa yang semakin menghampiri penghujungnya serta keperluan memberi ruang kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membuat persediaan bagi pilihan raya negeri.
“Pembubaran boleh berlaku selepas pembentangan Belanjawan Sarawak atau dalam tempoh sekitar dua minggu selepas itu, tetapi keputusan muktamad terletak pada Premier Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan program Wanita Masa Depan Sarawak 2026 (SWOT) Musim Kelima di Damai Lagoon Resort, pada Rabu.
Abdul Karim berkata, faktor masa turut perlu diambil kira bagi membolehkan SPR menetapkan tarikh penamaan calon dan hari pengundian sekiranya DUN dibubarkan.
“Persidangan DUN yang dijadual berlangsung dari 12 hingga 21 Oktober perlu diselesaikan terlebih dahulu kerana persidangan kali ini merangkumi pembentangan Belanjawan Sarawak.
“Tarikh persidangan itu turut disahkan melalui pekeliling rasmi Kerajaan Sarawak yang menetapkan Mesyuarat Kedua Penggal Kelima DUN Sarawak Ke-19 berlangsung dari 12 hingga 21 Oktober, kecuali Sabtu, Ahad dan cuti umum,” jelasnya.
Speaker DUN Sarawak, Tan Sri Mohamad Asfia Awang Nassar sebelum ini turut mengesahkan persidangan Oktober merupakan persidangan terakhir bagi penggal semasa. Selain itu, BERNAMA turut melaporkan mandat DUN ketika ini tamat pada Februari 2027.
Belanjawan Sarawak 2027 pula dijadual dibentangkan dalam persidangan berkenaan selepas pembentangan Belanjawan 2027 peringkat Persekutuan pada 9 Oktober.
Premier Sarawak sebelum ini memberi bayangan Belanjawan Sarawak 2027 akan menyentuh antaranya isu tarif elektrik, hala tuju ekonomi serta kedudukan hasil negeri.
Abdul Karim berkata, DUN lazimnya dibubarkan melalui keputusan kepimpinan negeri dan bukannya dibiarkan tamat dengan sendirinya.
Bagaimanapun, beliau menegaskan penetapan tarikh sebenar pembubaran dan pilihan raya bukan sesuatu yang boleh diputuskan menerusi spekulasi, sebaliknya tertakluk kepada proses serta kuasa pihak berkaitan.
Foto: Facebook YB Karim Hamzah





