
PELAJAR perlu diberikan pendedahan mengenai kesalahan jenayah dan implikasi undang-undang supaya mereka memahami keseriusan sesuatu tindakan, khususnya kesalahan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang berkaitan dengan kesalahan bunuh.
Pengamal undang-undang, Zaim Jalal berkata, pendedahan mengenai undang-undang wajar diberikan mengikut peringkat umur dan tidak hanya tertumpu kepada kesalahan bunuh, malah meliputi kesalahan seperti pergaduhan, mencederakan orang lain, ugutan dan buli.
Katanya, Seksyen 302 bukan kesalahan kecil kerana ia melibatkan kesalahan serius dan pelajar perlu memahami bahawa tindakan yang dilakukan ketika emosi atau dipengaruhi rakan boleh membawa implikasi undang-undang.
“Persoalannya, adakah kanak-kanak atau pelajar tahu mengenai Seksyen 302 dan implikasi apabila melakukan kesalahan berkenaan?
“Pihak sekolah boleh memberi peringatan dari semasa ke semasa mengenai kesalahan yang wujud di bawah Kanun Keseksaan supaya pelajar tidak mengambil ringan perkara ini,” katanya kepada The Malaysia Press (TMP) pada Selasa.
Zaim berkata, pendedahan sedemikian penting kerana golongan remaja berada pada peringkat usia yang memerlukan bimbingan bagi memahami batas tindakan serta akibat daripada perbuatan mereka.
Dalam pada itu, beliau berkata, usaha mencegah kejadian serius dalam kalangan pelajar turut memerlukan kepekaan ibu bapa terhadap perubahan tingkah laku anak masing-masing.
Menurutnya, ibu bapa dan guru perlu bekerjasama kerana tingkah laku anak di rumah tidak semestinya sama ketika berada di sekolah.
“Kadang-kadang perangai anak di rumah tidak sama dengan di sekolah. Ibu bapa mungkin tidak mengetahui apa yang berlaku kerana anak-anak sekarang banyak terdedah kepada media sosial dan pengaruh persekitaran.
“Sebab itu ibu bapa dan guru perlu bekerjasama serta saling berkongsi maklumat mengenai perubahan tingkah laku anak,” katanya.

Beliau berkata, ibu bapa juga perlu terbuka menerima teguran atau maklum balas daripada guru sekiranya terdapat tanda awal masalah atau perubahan tingkah laku dalam kalangan anak mereka.
“Kalau sudah terlibat dalam kes jenayah seperti ini, mungkin sudah terlambat. Jadi, hubungan ibu bapa dengan anak perlu kukuh supaya perubahan atau masalah dapat dikenal pasti lebih awal,” katanya.
Zaim berkata, kes pembunuhan Irene Sofiya sewajarnya menjadi peringatan besar kepada semua pihak supaya tidak mengabaikan tanda awal tingkah laku berisiko dalam kalangan pelajar.
Katanya, pencegahan tidak boleh hanya bergantung kepada pihak sekolah, sebaliknya ibu bapa, guru dan pelajar sendiri perlu memainkan peranan masing-masing dalam mewujudkan persekitaran yang lebih selamat.
“Beban mendidik anak tidak boleh dilepaskan kepada sekolah semata-mata. Ibu bapa mempunyai peranan besar dalam membentuk anak, manakala sekolah lebih kepada aspek pendidikan dan intelektual.
“Dari segi pembentukan sahsiah dan nilai diri, ibu bapa juga perlu memainkan peranan supaya anak memahami batas perbuatan dan kesan daripada tindakan mereka,” katanya.
Beliau turut mencadangkan supaya program pembangunan sahsiah, motivasi dan pendidikan nilai diperkasakan bagi membantu membentuk peribadi pelajar serta meningkatkan kesedaran mengenai tingkah laku yang berisiko.
Menurutnya, pendekatan pencegahan perlu dilakukan secara berterusan dan tidak hanya selepas berlaku sesuatu kejadian serius.
“Kalau boleh, pendedahan ini dibuat dari semasa ke semasa sebagai peringatan bersama supaya pelajar tahu bahawa setiap perbuatan ada batas dan implikasinya,” katanya.
Dalam kejadian pada 3 Oktober lalu, Irene Sofiya Mohd Khairool Faisal, 16, ditemukan tidak sedarkan diri dan berlumuran darah di sebuah dewan sekolah di Yong Peng, Batu Pahat, kira-kira 5.50 petang selepas tidak pulang ke rumah selepas menghadiri kelas tambahan.
Polis kemudian menahan tiga pelajar lelaki berusia 16 tahun bagi membantu siasatan sebelum seorang daripada mereka direman enam hari sehingga 9 Oktober bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Bedah siasat mendapati punca kematian Irene akibat trauma tumpul pada kepala, manakala polis turut merampas telefon bimbit, pakaian dan selipar bagi membantu siasatan. Motif kejadian masih dalam siasatan.






