
KUALA LUMPUR – Jabatan Siasatan Jenayah, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menyerahkan laporan awal berhubung kes dakwaan kekasaran membabitkan Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain terhadap penjawat awam kepada Jabatan Peguam Negara, pada Selasa.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, Jabatan Peguam Negara akan menentukan sama ada mereka berpuas hati bahawa kertas siasatan itu sudah cukup lengkap.
“(Jika tidak) besar kemungkinan Peguam Negara akan mengarahkan langkah diambil lagi bagi memastikan kertas itu betul-betul meyakinkan atau mempunyai asas kes yang cukup,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, pada Selasa.
Beliau menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen PN Alor Setar, Afnan Hamimi Taib Azamudden mengenai kebocoran dan penyebaran rakaman kamera litar tertutup (CCTV) insiden itu, selain jaminan ia tidak berulang kerana membabitkan sistem keselamatan di lapangan terbang.
Saifuddin, berkata, kebocoran rakaman CCTV itu adalah antara aspek yang menjadi fokus jawatankuasa siasatan bagi kes berkenaan.
“Ketika predikat dan hala tuju siasatan diletakkan sebagai landasan, elemen kebocoran dan punca sebaran video itu juga adalah dalam senarai semak, selain rakaman percakapan dan bukti lain. Itu dalam tindakan pihak polis,” katanya.
Sebelum ini, Mohd Shuhaily dilaporkan menyerahkan kepada kerajaan berhubung tindakan yang mungkin dikenakan susulan video tular memaparkan dirinya memarahi seorang individu di Lapangan Terbang Antarabangsa (KLIA) Terminal 1.
Mohd Shuhaily, berkata perkara berkenaan sudah dimaklumkan kepada peringkat tertinggi kerajaan serta Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan beliau bersedia menerima sebarang keputusan berhubung isu itu.
Sementara itu, menjawab pertanyaaan Ahli Parlimen PN Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin mengenai fungsi Sistem Imigresen Bersepadu nasional (NICC) supaya langkah pencegahan lebih awal boleh diambil lebih oleh pihak berkuasa di lapangan terbang, Saifuddin berkata, AKPS perlu diberikan autoriti untuk mengakses bilik kawalan yang menempatkan lebih 5,000 unit sistem kamera litar tertutup (CCTV) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 dan Terminal 2.
Menurut beliau, perbincangan serta persetujuan berhubung perkara itu sudah dicapai antara AKPS dengan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) dan kini di peringkat pengurusan bagi membolehkan agensi itu melaksanakan fungsi dari sudut keselamatan dengan lebih menyeluruh.
“Fasa kedua nanti, AKPS akan melengkapkan CCTV tambahan kepada 5,000 (unit) yang sekarang ini dimiliki oleh MAHB. Jadi, di mana AKPS akan tambah? Di kawasan yang kita tandakan sebagai blind spot (titik buta),” katanya.
Saifuddin berkata, ketika ini, bilik kawalan Jabatan Imigresen lebih tertumpu kepada proses pemeriksaan keluar dan masuk penumpang, termasuk pemantauan CCTV di kawasan kaunter pemeriksaan.
“Jabatan Imigresen di bawah kawalannya adalah pusat kawalan. Jadi fokus Jabatan Imigresen ini adalah bagi pemeriksaan kaunter, masuk atau keluar, yang dipasang CCTV. Di situlah menjadi sumber maklumat yang diawasi oleh imigresen
“Kawalan CCTV yang lebih menyeluruh di KLIA 1 dan KLIA 2 berada di bawah MAHB yang mempunyai lebih 5,000 CCTV serta bilik kawalannya sendiri,” katanya


