12 daripada 16 perkara MA63 diselesaikan era Kerajaan MADANI

KUALA LUMPUR – Sebanyak 12 daripada keseluruhan 16 perkara berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang dimuktamadkan setakat ini diselesaikan di bawah pentadbiran Kerajaan MADANI.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud berkata, pencapaian itu menunjukkan usaha berterusan kerajaan dalam menyelesaikan perkara berkaitan MA63 yang masih tertunggak.

“Kalau ikut rekod sekarang ini sudah 16 perkara selesai dan hanya empat perkara diselesaikan kerajaan terdahulu. Sebanyak 12 perkara selesai zaman Kerajaan Perpaduan MADANI.

“Jadi, kita serius sebenarnya untuk menyelesaikan perkara ini.

“Kalau hendak diselesaikan semuanya dalam satu penggal, saya fikir itu pun tidak adil kepada Kerajaan Perpaduan MADANI kerana banyak perkara yang perlu kita teliti,” ujarnya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, pada Isnin.

Mustapha berkata demikian semasa menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Semporna, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang membangkitkan tempoh penyelesaian perkara berkaitan MA63 selepas lebih enam dekad pembentukan Malaysia.

Shafie turut membangkitkan hak Sabah terhadap pemberian khas 40 peratus hasil bersih yang diperoleh Kerajaan Persekutuan dari negeri itu sebagaimana diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Membidas kenyataan Shafie, Mustapha berkata, beliau sendiri sebagai anak Sabah mahu perkara berkenaan diselesaikan sesegera mungkin.

“Memang sesiapa pun mahu semua perkara ini diselesaikan sesegera mungkin. Saya sendiri sebagai orang Sabah.

“Saya beri komitmen sebagai menteri yang dipertanggungjawabkan, selagi kita berada dalam kerajaan ini, kita akan pastikan perkara-perkara ini kita selesaikan,” tegasnya.

Dalam sesi sama, Mustapha turut menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Puncak Borneo, Datuk Willie Mongin mengenai tuntutan supaya Sabah dan Sarawak mempunyai sekurang-kurangnya 35 peratus kerusi Dewan Rakyat serta mekanisme perundangan bagi merealisasikannya.

Menjawab soalan tersebut, Mustapha memaklumkan, perkara itu telah dibincangkan menerusi Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63), Jawatankuasa Teknikal MTPMA63 serta Mesyuarat Jemaah Menteri.

“Saya sendiri telah mengadakan perbincangan awal dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk mendapatkan input daripada SPR dan apa tindakan yang perlu dilakukan.

“Saya juga mencadangkan supaya diwujudkan jawatankuasa khas di bawah Jawatankuasa Teknikal untuk memperincikan kaedah pelaksanaannya,” jelasnya.

Tambah Mustapha, perkara berhubung pertambahan bilangan Ahli Dewan Rakyat dari Sabah dan Sarawak akan terus dibincangkan dan dipantau menerusi Jawatankuasa Teknikal MTPMA63.

Dalam pada itu, beberapa perkara berkaitan MA63 termasuk royalti minyak dan pembayaran tunai petroleum, mineral minyak dan medan minyak, Akta Laut Wilayah, duti setem serta hak negeri ke atas pelantar benua kini dirujuk untuk keputusan atau perbincangan di peringkat tertinggi.

Perkara berkenaan akan dibincangkan antara Perdana Menteri, Premier Sarawak dan Ketua Menteri Sabah, selain terus dipantau menerusi MTPMA63 dan Jawatankuasa Teknikalnya.

Tambahnya lagi, tempoh penyelesaian setiap tuntutan tertakluk kepada proses perundangan berkaitan serta tahap kesiapsiagaan kerajaan Sabah dan Sarawak dari aspek operasi, sumber manusia dan kewangan.

Related Posts

Jalan Kampung Jaya Baru-Pasar Tamu Mingguan Kunak siap diturap

KUNAK – Jalan raya sepanjang kira-kira 300 meter menghubungkan Kampung Jaya Baru dengan Pasar Tamu Mingguan Kunak akhirnya selesai diturap semula bagi memberi keselesaan sekali gus meningkatkan keselamatan pengguna jalan…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Kerjasama Warisan, KDM, STAR diperkukuh di Sepanggar

KOTA KINABALU – Kerjasama antara Parti Warisan Sabah (Warisan), Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) terus diperkukuhkan di peringkat bahagian, susulan kehadiran pimpinan ketiga-tiga parti…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

12 daripada 16 perkara MA63 diselesaikan era Kerajaan MADANI

  • By Ezmie
  • October 5, 2026
12 daripada 16 perkara MA63 diselesaikan era Kerajaan MADANI

Pengamal media perlu jadi mata dan telinga rakyat, jangan gadai etika demi kejar tontonan

Pengamal media perlu jadi mata dan telinga rakyat, jangan gadai etika demi kejar tontonan

BN sangat terbuka bekerjasama dengan PH di Melaka – Zahid

BN sangat terbuka bekerjasama dengan PH di Melaka – Zahid

Kerajaan ambil tanggungjawab, patuhi undang-undang isu pengurusan pelarian

  • By Aden
  • October 5, 2026
Kerajaan ambil tanggungjawab, patuhi undang-undang isu pengurusan pelarian

Jalan Kampung Jaya Baru-Pasar Tamu Mingguan Kunak siap diturap

  • By Fatin
  • October 5, 2026
Jalan Kampung Jaya Baru-Pasar Tamu Mingguan Kunak siap diturap

Sabah perlu peruntukan lebih besar dalam Belanjawan Negara

  • By Fatin
  • October 5, 2026
Sabah perlu peruntukan lebih besar dalam Belanjawan Negara