PUTRAJAYA – Kerajaan akan terus memperkukuh kerjasama dengan SpaceX menerusi perkhidmatan internet satelit Starlink bagi meluaskan capaian internet berkualiti, khususnya kepada penduduk di kawasan pedalaman.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerjasama itu penting bagi memastikan masyarakat di kawasan pedalaman, termasuk di Sabah dan Sarawak serta penempatan Orang Asli di Semenanjung, tidak tercicir daripada arus kemajuan negara.
Beliau berkata demikian selepas menerima kunjungan hormat delegasi SpaceX di Putrajaya, petang tadi, yang antara lain membincangkan usaha memperkukuh kerjasama menerusi Starlink.
“Saya menghargai peranan Starlink dalam menyokong usaha Kerajaan meluaskan liputan dan meningkatkan mutu capaian internet menerusi JENDELA, termasuk di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak serta penempatan Orang Asli di Semenanjung,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Anwar berkata, beliau turut menyambut baik pengoperasian infrastruktur Point of Presence (PoP) Starlink di Cyberjaya bagi melancarkan trafik data tempatan dan meningkatkan mutu perkhidmatan kepada pengguna.
Dalam pertemuan itu, SpaceX turut menyumbangkan 50 unit kit Starlink bagi menyokong kesiapsiagaan bencana negara.
Perdana Menteri berkata, kemajuan teknologi perlu memberikan manfaat nyata kepada rakyat, termasuk memastikan capaian internet yang lebih meluas dan berkualiti dapat dinikmati masyarakat di kawasan sukar mendapat liputan.
Pada masa sama, beliau berkata aspek keselamatan siber, perlindungan data dan penggunaan internet secara selamat perlu terus diberi keutamaan seiring dengan peluasan capaian internet.
“Kita mahu memastikan masyarakat di pedalaman turut menikmati capaian internet yang berkualiti dan selamat agar mereka tidak tercicir daripada arus kemajuan negara,” katanya.

