
PUTRAJAYA – Kejayaan Petronas dan rakan usaha samanya memuktamadkan pelaburan bagi projek LNG Canada Fasa 2 di Kitimat, British Columbia mempamerkan kepercayaan komuniti antarabangaa terhadap kepakaran dan kemampuan Malaysia.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, projek tenaga berskala besar itu membuka jalan kepada pelaburan sektor swasta bernilai CA$33 bilion.
Tambah beliau, pembesaran itu bakal menjadikan LNG Canada antara kemudahan gas asli cecair terbesar di dunia, sekali gus memperkukuh bekalan tenaga kepada pasaran antarabangsa.
“Alhamdulillah, saya menerima khabar gembira dari Kanada apabila Petronas bersama rakan usaha samanya berjaya memuktamadkan keputusan pelaburan bagi projek LNG Canada Fasa 2 di Kitimat, British Columbia.
“Keputusan ini membuka jalan kepada pelaburan sektor swasta bernilai CA$33 bilion. Pembesaran ini bakal menjadikan LNG Canada antara kemudahan gas asli cecair terbesar di dunia.
“Sekali gus memperkukuh bekalan tenaga kepada pasaran antarabangsa,” katanya menerusi kenyataan, pada Rabu.
Dalam pada itu, Anwar turut mengucapkan tahniah kepada Petronas di atas kejayaan itu di samping penghargaan kepada Perdana Menteri Kanada, Mark Carney atas sokongan beliau kepada syarikat petroleum Malaysia.
“Tahniah kepada seluruh warga Petronas atas kejayaan ini.Penghargaan saya kepada Perdana Menteri Kanada, Mark Carney atas sokongan beliau kepada Petronas.
“Saya mengalu-alukan pertemuan bersama PM Carney dan delegasi Kanada pada masa akan datang bagi memperkukuh hubungan persahabatan serta memperluas kerjasama Malaysia-Kanada,” katanya.






