
KUCHING – Tempoh pameran syor Kajian Semula Persempadanan (KSP) Bahagian-Bahagian Pilihan Raya Persekutuan dan Negeri Dalam Negeri Sarawak Ke-7 akan berakhir pada jam 5 petang, Rabu (30 September).
Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) dalam satu kenyataan rasmi pada Selasa berkata, pameran yang bermula pada 1 September lalu itu memberi ruang kepada pihak berkaitan untuk mengemukakan representasi sama ada bantahan atau sokongan terhadap cadangan berkenaan.
Menurut SPR, representasi hendaklah dikemukakan secara bertulis dan boleh dihantar secara dalam talian melalui sistem MySPR atau dialamatkan kepada Pegawai Pilihan Raya Negeri Sarawak sebelum tamat tempoh ditetapkan.
Selain itu, dokumen representasi lengkap juga boleh diserahkan secara tangan di Pejabat Pilihan Raya Negeri Sarawak, Tingkat 11, Bangunan Sultan Iskandar, Jalan Simpang Tiga, Kuching.
Orang ramai yang memerlukan penjelasan lanjut mengenai urusan representasi boleh menghubungi Hotline KSP Sarawak di talian 082-254 233 atau menerusi e-mel ksp@spr.gov.my.
Sebelum ini, SPR mula mempamerkan syor KSP Sarawak selama sebulan bagi membolehkan orang ramai meneliti dan mengemukakan bantahan.
Antara syor yang dikemukakan ialah penambahan 17 bahagian pilihan raya negeri yang menjadikan jumlah keseluruhan dicadangkan sebanyak 99 kerusi.
Turut dicadangkan ialah pertukaran nama bagi 10 bahagian pilihan raya negeri dan satu bahagian pilihan raya Persekutuan, manakala jumlah keseluruhan kerusi Parlimen bagi Sarawak dikekalkan.


