SEREMBAN – Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir berkenan menerima menghadap Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim di Istana Hinggap, Seremban, pada Selasa.
Kereta yang membawa baginda dilihat memasuki pekarangan istana itu kira-kira jam 11 pagi sebelum Ismail tiba dan memasuki istana kira-kira jam 10.50 pagi.
Difahamkan, sesi menghadap itu turut dihadiri Undang Luak Sungei Ujong, Datuk Klana Petra Muhammad Faris Johari dan Undang Luak Rembau, Datuk Sedia Raja Hassan Ab Hamid.
Sesi itu turut dihadiri Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad.
Difahamkan, sesi menghadap itu berkaitan dengan krisis adat dan istana yang sedang melanda negeri ini, termasuk penarikan balik pelantikan 10 Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco).
Baru-baru ini, Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meminta Ismail menghadap Tuanku Muhriz dan Undang Yang Empat bagi mencari jalan penyelesaian kepada kemelut terbabit.
Beliau turut meminta pertemuan dengan Tunku Besar Tampin, Datuk Shahbandar dan hierarki adat lain diadakan dengan mengambil kira Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan, adat serta peraturan berkaitan.
Semalam, polis Bukit Aman selesai mengambil keterangan 10 bekas Exco Negeri Sembilan dan beberapa individu lain.



