
KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Felda Investment Corporation (FIC), Mohd Zaid Abdul Jalil, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan memperdaya Lembaga Pengarah FIC berkaitan pelantikan syarikat bagi satu projek serta penilaian harga pasaran 24 lot tanah milik FELDA pada 2014.
Mohd Zaid, 55, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan dan memohon untuk dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rosli Ahmad.
Mengikut pertuduhan pertama, Mohd Zaid didakwa memperdaya Lembaga Pengarah FIC dengan menyebabkan mereka mempercayai bahawa Synergy Promenade Sdn Bhd layak dilantik sebagai Project Delivery Partner-Master Developer bagi projek ‘The Proposed Commercial Development On FELDA Lots In Jalan Semarak, Kuala Lumpur’.
Sedangkan, beliau didakwa mengetahui syarikat itu hanya layak dilantik sebagai Project Delivery Partner-Master Planner.
Perdayaan itu didakwa menyebabkan Lembaga Pengarah FIC meluluskan pelantikan Synergy Promenade Sdn Bhd sebagai Project Delivery Partner-Master Developer bagi projek berkenaan.
Bagi pertuduhan kedua, Mohd Zaid didakwa memperdaya Lembaga Pengarah FIC berhubung penilaian harga pasaran 24 lot tanah milik FELDA yang dilaporkan Firdaus & Associates Property Professionals Sdn Bhd.
Beliau didakwa menyebabkan Lembaga Pengarah mempercayai nilai pasaran tanah terbabit adalah RM330.96 juta, sedangkan beliau mengetahui jumlah sebenar yang dilaporkan ialah RM691.7 juta.
Beliau turut didakwa memperdaya Lembaga Pengarah FIC untuk mempercayai bahawa penilaian indikatif Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) bagi 24 lot tanah berkenaan adalah RM180 juta.
Bagaimanapun, beliau didakwa mengetahui bahawa JPPH tidak pernah memberikan penilaian indikatif berkenaan kepada FIC.
Perdayaan tersebut didakwa menyebabkan Lembaga Pengarah FIC menerima tawaran daripada Synergy Promenade Sdn Bhd berkaitan cadangan Minimum Guaranteed Return (MGR) sebanyak RM500 juta atau 10 peratus daripada Gross Development Value (GDV), mengikut mana-mana yang lebih tinggi.
Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di Bilik Mesyuarat Lembaga, Tingkat 50, Menara FELDA, Platinum Park di sini, masing-masing pada 16 Januari dan 29 April 2014.
Mohd Zaid didakwa mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan bagi kedua-dua pertuduhan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Radzi Shah Abd Razak, menawarkan ikat jamin RM100,000 bagi kedua-dua pertuduhan selain memohon syarat tambahan supaya pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah.
Beliau turut memohon supaya Mohd Zaid diwajibkan melaporkan diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebulan sekali.
Bagaimanapun, peguam Mohd Shahrullah Khan Nawab Zadah Khan yang mewakili tertuduh memohon jumlah ikat jamin minimum atas alasan anak guamnya sentiasa memberikan kerjasama penuh kepada SPRM.
Menurutnya, Mohd Zaid juga pernah menjadi saksi pendakwaan bagi pihak SPRM sebanyak dua kali, termasuk dalam kes membabitkan bekas Pengerusi FELDA, Datuk Seri Isa Samad.
“Anak guam saya juga dijadual mengerjakan umrah dari 4 hingga 14 November depan dan bayaran perjalanan berkenaan sudah dibuat sejak Julai lalu.
“Sehubungan itu, saya memohon supaya penyerahan pasport dibuat selepas Mohd Zaid pulang daripada mengerjakan umrah,” katanya.
Peguam itu turut memohon supaya ikat jamin ditetapkan RM10,000 bagi setiap pertuduhan atau dua penjamin dikenakan sebagai ganti jumlah jaminan yang lebih tinggi.
Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, Rosli menetapkan jumlah ikat jamin RM60,000 bagi semua pertuduhan dengan seorang penjamin.
Hakim turut memerintahkan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah serta mewajibkan beliau melaporkan diri di pejabat SPRM sebulan sekali.
Sebutan semula kes ditetapkan pada 29 Oktober depan.







