
TAWAU – Majlis Perbandaran Tawau (MPT) menafikan sebarang penglibatan atau kaitan dengan hebahan media sosial berhubung tawaran ‘Pinjaman Tunai Hanya Untuk Peniaga’ yang menggunakan gambar pegawai MPT.
MPT dalam kenyataan rasmi pada Ahad, memaklumkan, hebahan yang ditularkan menerusi akaun Facebook Pejabat Modal Usahawan Malaysia itu adalah palsu dan tidak benar.
Orang ramai dinasihatkan supaya tidak mempercayai atau menyebarkan hebahan berkenaan, selain tidak memberikan sebarang maklumat peribadi kepada pihak terbabit.
MPT turut mengingatkan orang ramai supaya merujuk saluran rasmi Majlis bagi mendapatkan sebarang maklumat atau hebahan berkaitan perkhidmatan dan urusan MPT.







