Penyingkiran Tuanku Muhriz jenayah serius, perlu diambil tindakan tegas

PUTRAJAYA – Pihak berkuasa digesa mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang terlibat dalam usaha menyingkirkan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

Kumpulan bekas penjawat awam kanan (G25) memaklumkan usaha dilakukan kerajaan negeri dalam menyingkirkan Tuanku Muhriz merupakan perbuatan khianat yang boleh diambil tindakan di bawah Seksyen 121B Kanun Keseksaan.

Menurutnya, ia merupakan Jenayah serius yang boleh dihukum penjara sehingga 40 tahun di samping perbuatan terbabit juga boleh dikenakan tindakan Akta Hasutan 1948 kerana perbuatan menghasut.

“Kesucian Perlembagaan Persekutuan dan negeri serta kedaulatan undang-undang mesti dipertahankan dengan penuh kewaspadaan.

“Jika tidak, undang-undang dan ketenteraman akan runtuh secara beransur-ansur, sesuatu yang kini mula kita rasai dan saksikan,” katanya menerusi kenyataan, pada Isnin.

Dalam pada itu, G25 menegaskan, Datuk Ismail Lasim digesa berundur dengan meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan susulan isu berkaitan adat dan perlembagaan yang melanda negeri berkenaan.

Jelasnya, kedudukan Ismail tidak lagi boleh dipertahankan selepas beliau menandatangani proklamasi yang memohon penyingkiran Tuanku Muhriz, diikuti penjelasan bercanggah mengenai dokumen berkenaan.

“Ismail mengangkat sumpah jawatan dan ikrar taat setia sebagai menteri besar di hadapan Tuanku Muhriz pada 2 Ogos, namun menandatangani proklamasi berkenaan pada hari berikutnya.

“Beliau telah kehilangan kredibilitinya susulan percubaannya untuk menyingkirkan Tuanku Muhriz sebagai pemerintah negeri yang sah, selain sikap tidak tegas dan kegagalannya menjelaskan siapa yang memaksanya menandatangani proklamasi berkenaan, yang beliau sendiri katakan tidak sah dan tidak mempunyai kesan.

“Dan yang sama pentingnya, pada 16 Sept, beliau kemudiannya mengambil pendirian yang bercanggah mengenai ‘kesahihan’ proklamasi tersebut. Susulan semua kelakuan yang tidak boleh diterima ini, beliau telah kehilangan kewibawaan moral untuk memimpin dan mentadbir,” katanya.

Terdahulu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan merakam keterangan 10 bekas Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Negeri Sembilan, susulan isu berkaitan adat dan perlembagaan yang melanda negeri berkenaan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail berkata, proses merakam percakapan semua individu terbabit akan dijalankan di Negeri Sembilan.

Sebelum ini, Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) tampil membuat laporan polis bagi menggesa pihak berkuasa membuka kertas siasatan terhadap Ismail serta barisan Exco kerajaan negeri.

Sepuluh Exco yang terbabit dalam siasatan berkenaan ialah Datuk Mohd Faizal Ramli, Datuk Zaifulbahri Idris, Datuk Mustapha Nagoor, Siow Kong Choon, Siti Nur Umaira Hasim, Datuk Mohd Asna Amin, Datuk Mohd Razi Mohd Ali, Suhaimizan Bizar, Mohd Fairuz Mohd Isa dan Datuk Razali Abu Samah.

Susulan kemelut isu adat di negeri berkenaan, pelantikan 10 Exco terbabit dibatalkan secara sah mengikut peruntukan undang-undang tubuh negeri.

Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar, menjelaskan warta pembatalan pelantikan berkenaan diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz berkuat kuasa 20 September lalu, selaras dengan Perkara 38(5) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.

Related Posts

Krisis Negeri Sembilan: Lebih 60 soalan diajukan kepada bekas Exco

SEREMBAN – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lenggeng, Datuk Mohd Asna Amin menyatakan lebih 60 soalan berkaitan krisis yang melanda Negeri Sembilan diajukan polis kepada beliau dalam rakaman keterangannya hari…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Kerajaan Perak zahir takziah atas pemergian Tun Dr Siti Hasmah

IPOH – Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarhamah Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali yang meninggal dunia pada usia 100 tahun di Institut…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Krisis Negeri Sembilan: Lebih 60 soalan diajukan kepada bekas Exco

Krisis Negeri Sembilan: Lebih 60 soalan diajukan kepada bekas Exco

Kajian masa depan institut pengajian tinggi perlu dipandang serius – PM

Kajian masa depan institut pengajian tinggi perlu dipandang serius – PM

Kemajuan teknologi harus berpaksikan sifat kemanusiaan, moraliti – PM Anwar

Kemajuan teknologi harus berpaksikan sifat kemanusiaan, moraliti – PM Anwar

Kerajaan Perak zahir takziah atas pemergian Tun Dr Siti Hasmah

Kerajaan Perak zahir takziah atas pemergian Tun Dr Siti Hasmah

Belas kasihan beri anjing roti, lelaki maut akibat rabies

Belas kasihan beri anjing roti, lelaki maut akibat rabies

Maritim rampas 10,000 liter diesel, tahan bot tunda di Sandakan

  • By Fandi
  • September 28, 2026
Maritim rampas 10,000 liter diesel, tahan bot tunda di Sandakan