
BINTULU – Sarawak mengambil langkah proaktif mendepani krisis rantaian bekalan makanan global dengan mewartakan lebih 7,000 hektar tanah khusus untuk penanaman padi berskala besar yang disokong suntikan dana awal berjumlah RM1 bilion.
Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, inisiatif tersebut bertujuan mengurangkan kebergantungan negara terhadap beras import, tatkala negara pembekal mula berdepan ancaman perubahan iklim yang menjejaskan pengeluaran.
Menurut beliau, kerajaan Sarawak mengenal pasti kawasan strategik bagi tujuan tersebut, merangkumi 4,000 hektar tanah yang diwartakan di bawah Seksyen 7, serta tambahan 2,299 hektar tanah kerajaan yang dikhususkan sepenuhnya untuk pertanian padi.
“Jika kita tidak lagi mampu mengimport beras suatu hari nanti, apa yang akan kita makan? Sarawak memiliki kelebihan keluasan tanah, dan kita kini mengambil penyelesaian tuntas dengan memfokuskan pengeluaran beras yang disokong metodologi moden.
“Bagi memperkukuh ekosistem ini, kerajaan Sarawak telah menetapkan peruntukan RM1 bilion. Saya juga menyarankan kerajaan Persekutuan melalui Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, untuk memberikan pembiayaan padanan (one-to-one grant) bagi menjadikan jumlah keseluruhan dana kepada RM2 bilion,” katanya ketika berucap menyempurnakan Majlis Perasmian Sarawak Agrofest 2026 pada Isnin.
Jelas beliau, menjelang tahun hadapan, Sarawak akan memulakan operasi penanaman menggunakan teknologi hibrid perennial rice (padi saka) hasil penyelidikan bersama Universiti Yunnan yang sedang diuji di Bario.
“Teknologi ini membolehkan padi dituai berulang kali dalam tempoh lima tahun tanpa perlu ditanam semula, sekali gus berpotensi melonjakkan hasil pendapatan petani,” ujar beliau lagi.
Pada majlis yang sama, Premier Sarawak mewakili seluruh rakyat negeri itu turut merakamkan ucapan takziah kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad atas pemergian isterinya, Allahyarhamah Tun Dr. Siti Hasmah pada Isnin.






